The Step - Every Story Moves You

Izara Aishah, Lesti berdamai... "Jaga Silaturahim lebih indah" - Siti Nurhaliza

"Yang sudah bermaafan, jangan kita adu-adukan lagi. Yang sudah berdamai, jangan kita nyalakan kembali apinya." - Siti Nurhaliza

Deel Anjer
Oleh Deel AnjerWartawan20 Oktober 2026 pada 01:04 PTG2 min bacaanDikemas kini 20 Oktober 2026 pada 01:07 PTG
"Yang sudah bermaafan, jangan kita adu-adukan lagi. Yang sudah berdamai, jangan kita nyalakan kembali apinya." - Siti Nurhaliza

"Yang sudah bermaafan, jangan kita adu-adukan lagi. Yang sudah berdamai, jangan kita nyalakan kembali apinya." - Siti Nurhaliza

BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 47, mengingatkan bahawa keberanian untuk memohon maaf dan kebesaran hati memaafkan orang lain bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya mencerminkan kematangan dalam menyelesaikan perselisihan.

Menerusi perkongsian di Instagram Story (IGS), Siti berkata, apabila dua pihak yang berselisih faham sudah memilih untuk saling memaafkan, orang lain seharusnya menghormati keputusan itu dan tidak terus memanjangkan pertelingkahan.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada kemelut membabitkan menantunya, Izara Aishah dan penyanyi Indonesia, Lesti Kejora, yang kini dianggap selesai selepas kedua-duanya membuat permohonan maaf secara terbuka.

"Setiap manusia ada khilaf. Ada waktunya emosi mendahului pertimbangan, dan sebuah hubungan diuji dengan salah faham.

"Namun, apabila dua insan yang berselisih (faham) sudah memilih untuk saling memaafkan, di situlah seharusnya cerita itu berhenti, bukan terus dipanjangkan oleh mereka yang berada di luar," tulisnya.

Menurut Siti, Islam mengajar umatnya untuk mengutamakan perdamaian berbanding mencari siapa yang menang atau kalah dalam sesuatu perselisihan.

Jelasnya, meminta maaf tidak menjadikan seseorang itu rendah, manakala memaafkan pula tidak bermakna seseorang itu tewas.

"Kita diajar untuk mencari jalan kembali kepada perdamaian. Meminta maaf tidak menjadikan seseorang itu rendah. Memaafkan pula tidak menjadikan seseorang itu kalah. Kedua-duanya memerlukan keberanian dan kebesaran hati.

"Dan apabila mereka yang terlibat sendiri sudah berdamai, mungkin tugas kita bukan lagi untuk menghakimi, mengungkit atau memilih pihak.

"Cukuplah kita mendoakan agar yang keruh kembali jernih, yang terluka kembali sembuh dan silaturahim yang pernah diuji menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

"Kita juga tidak pernah tahu bila kita sendiri akan berada dalam keadaan yang sama - tersalah kata, tersalah faham, kemudian berharap diberi ruang untuk memperbaiki keadaan," katanya.

Dalam perkongsian sama, Siti turut mengingatkan tentang kepentingan menjaga hubungan sesama manusia dengan merujuk firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat yang menekankan bahawa orang beriman itu bersaudara dan perlu mendamaikan pihak yang berselisih.

Beliau turut berkongsi hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim mengenai larangan seseorang Muslim memutuskan hubungan dengan saudaranya melebihi tiga malam, selain menjelaskan bahawa individu yang terlebih dahulu memberikan salam merupakan pihak yang lebih baik.

Mengulas lanjut, Siti berharap kedua-dua pihak yang sudah bermaafan tidak lagi menjadi sasaran provokasi sehingga mencetuskan semula perselisihan yang telah diselesaikan.

"Yang sudah bermaafan, jangan kita adu-adukan lagi. Yang sudah berdamai, jangan kita nyalakan kembali apinya. Semoga Allah menjaga tutur kata kita, melembutkan hati kita dan memelihara persaudaraan sesama kita.

"Kerana akhirnya menjaga silaturahim jauh lebih indah daripada menenangkan sebuah perselisihan," katanya.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp
Tentang Penulis
Deel AnjerWartawan, The Step | 191 siaran

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.

Lihat semua tulisan

Berita berkaitan

EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com