Gajet di tangan, kesihatan melayang
Bukanlah bermakna teknologi itu musuh. Namun apabila gajet bertukar fungsi daripada alat kemudahan menjadi 'penjara' yang mengurung diri daripada menikmati dunia luar, di situlah masalahnya bermula.

Golongan muda yang semakin ketagihan untuk menatap skrin pada gajet. – Gambar hiasan.
CUBA bayangkan senario ini, seawal pukul 8 pagi ketika sebahagian besar anak muda masih bergelut untuk mencelikkan mata selepas berjam-jam melihat media sosial sehingga larut malam, sekumpulan warga emas di Kuala Selangor sudah pun ceria berhimpun.
Destinasi mereka? Wellness Hub Kuala Selangor.
Bukan untuk duduk diam merenung nasib atau sekadar bersembang kosong, tetapi untuk bersenam, menyertai aktiviti fizikal, dan menyerap tenaga positif bersama rakan-rakan sebaya.
Persoalannya, kalau orang tua pun gigih menjaga kesihatan dan memilih untuk hidup aktif, apa alasan yang muda ini?
Mengikut kajian yang telah dibuat, purata penggunaan gajet adalah 8 jam sehari.
Kenyataan hari ini cukup ironik. Pada zaman ini kemudahan kesihatan dan maklumat berada di hujung jari, golongan muda semakin memencilkan diri.
Dunia seolah-olah mengecil di sebalik skrin telefon enam inci. Jam demi jam dihabiskan untuk menatap kehidupan orang lain di dunia maya, manakala tubuh sendiri makin layu, sendi makin lenguh, dan ikatan sosial di dunia sebenar semakin renggang.
Manusia sibuk mengejar peminat di media sosial, tetapi secara fizikal semakin terpencil dan kurang bergerak.
Sebaliknya, perhatikan semangat warga emas di Wellness Hub Kuala Selangor.
Mereka mengajar kita satu pengajaran penting tentang makna kehidupan yang sebenar.
Di sana, tiada istilah 'duduk rumah main gajet'.
Yang ada hanyalah gelak tawa, regangan otot, pergerakan aktif, dan perbualan mesra yang menyegarkan jiwa.
Suasana penuh tenaga ini disaksikan dan dirasai sendiri oleh pelajar Semester 5 Pengiklanan UiTM, sewaktu berkunjung untuk penganjuran program MASIH.ABLETO di sana.

Pelbagai aktiviti interaktif bersama komuniti dilakukan di Wellness Hub, Kuala Selangor.
Melalui pengalaman ini, mereka membuktikan bahawa kesihatan fizikal dan mental tidak boleh dimuat turun daripada internet manakala ia perlu diusahakan dengan melangkah keluar dari pintu rumah, bergerak dan bersosial secara bersemuka.
Bukanlah bermakna teknologi itu musuh. Namun apabila gajet bertukar fungsi daripada alat kemudahan menjadi 'penjara' yang mengurung diri daripada menikmati dunia luar, di situlah masalahnya bermula.
Kesihatan bukan sekadar tidak sakit, tetapi tentang keupayaan untuk menikmati hidup dengan tubuh yang bertenaga.
Jika golongan warga emas boleh menolak keselesaan sofa di rumah demi gaya hidup yang sihat dan komuniti yang hidup, kenapa diri sendiri yang masih bertenaga ini memilih untuk 'lumpuh' di atas katil bersama skrin telefon?
Sudah tiba masanya untuk ubah fikiran. Tutup skrin itu, sarung kasut dan keluar bersosial di alam nyata.
Kalau orang tua boleh buktikan umur bukan penghalang untuk kekal aktif dan gembira, takkan diri sendiri ini nak mengalah?
Ditulis oleh Muhammad Aizad Syahmi Muhammad Faizal, Pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Pengajian Media (Pengiklanan) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Emel: aizadfaizal13@gmail.com
Berita berkaitan

Curi kabel di siang hari di Jalan Tun Razak, polis giat buru kumpulan suspek
Oleh The Step21 November 2026 pada 04:14 PTG
Hello Universe realisasikan impian peminat, 130,000 saksi kehebatan My Chemical Romance

Pierce Brosnan dinobatkan James Bond paling kacak, Robert Pattinson di tempat kelima
Oleh The Step21 November 2026 pada 02:57 PTG

