The Step - Every Story Moves You

MAMSB perkasa transformasi digital, pastikan industri perkhidmatan wang kekal berdaya saing

Pendigitalan kini menjadi antara langkah penting bagi membantu pengendali industri meningkatkan kecekapan

Deel Anjer
Oleh Deel AnjerWartawan18 November 2026 pada 12:06 PTG4 min bacaanDikemas kini 18 November 2026 pada 12:22 PTG
pendigitalan kini menjadi antara langkah penting bagi membantu pengendali industri meningkatkan kecekapan

MAMSB menjadikan transformasi digital sebagai antara agenda utama menerusi Persidangan Flagship Tahunan 2026.

PERKEMBANGAN teknologi kewangan yang semakin pesat menuntut industri perniagaan perkhidmatan wang (MSB) untuk terus berubah, bukan sahaja dari segi operasi, malah dalam memastikan perkhidmatan yang ditawarkan kekal relevan dengan keperluan pengguna.

Daripada urusan pertukaran mata wang di kaunter hinggalah kepada kiriman wang rentas sempadan, pendigitalan kini menjadi antara langkah penting bagi membantu pengendali industri meningkatkan kecekapan dan kekal berdaya saing.

MAMSB) menjadikan transformasi digital sebagai antara agenda utama menerusi Persidangan Flagship Tahunan 2026 yang berlangsung di Sasana Kijang,
MAMSB) menjadikan transformasi digital sebagai antara agenda utama menerusi Persidangan Flagship Tahunan 2026 yang berlangsung di Sasana Kijang,

Menyedari keperluan itu, Persatuan Perniagaan Perkhidmatan Wang Malaysia (MAMSB) menjadikan transformasi digital sebagai antara agenda utama menerusi Persidangan Flagship Tahunan 2026 yang berlangsung di Sasana Kijang, baru-baru ini.

Presiden MAMSB, Datuk Sri Jajakhan Gani berkata, perkembangan industri perkhidmatan wang memerlukan kerjasama semua pihak supaya pengendali besar mahupun kecil mempunyai peluang untuk berkembang dalam persekitaran digital.

MAMSB) menjadikan transformasi digital sebagai antara agenda utama menerusi Persidangan Flagship Tahunan 2026 yang berlangsung di Sasana Kijang,

Menurutnya, prinsip ‘By Members, For Members’ menjadi tunjang kepada usaha persatuan dalam menggalakkan perkongsian pengalaman, pengetahuan dan penyelesaian bagi menangani cabaran bersama.

“Industri MSB terus berkembang dan menyumbang secara bermakna kepada ekonomi Malaysia. Ketika kita bergerak ke arah persekitaran yang semakin digital, penting untuk industri ini maju bersama supaya pengendali besar dan kecil mempunyai peluang untuk kekal berdaya saing serta mampan.

“Kekuatan terbesar MAMSB sentiasa terletak pada komitmen dan sokongan berterusan ahli. Kemajuan industri hanya dapat dicapai menerusi usaha kolektif, kerjasama dan tanggungjawab bersama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAMSB, Raman Krishnan berkata, peranan persatuan bukan sekadar mewakili kepentingan industri, sebaliknya turut memastikan ahlinya sentiasa mengikuti perkembangan kawal selia, teknologi baharu dan perubahan jangkaan pengguna.

Katanya, menerusi penglibatan bersama pihak pengawal selia, pembangunan profesional, perkongsian ilmu serta kerjasama dengan penyedia teknologi, MAMSB mahu membantu ahli meningkatkan tahap pematuhan, kecekapan operasi dan kualiti perkhidmatan.

Dalam masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Moneywave Sdn Bhd, Aiman Kallahan berkata, penyertaan dalam persidangan itu memberi peluang kepada pihaknya memahami dengan lebih dekat perkembangan industri, termasuk perubahan kawal selia dan kepentingan pendigitalan.

Menurutnya, platform seperti yang disediakan MAMSB turut membuka ruang kepada pemain baharu untuk mendapatkan pandangan serta bimbingan daripada pengendali berpengalaman dan badan kawal selia.

“Sesi ini membantu kami memahami komuniti industri dengan lebih baik. Secara tidak langsung, ia memberikan perspektif berbeza apabila melihat pemain sedia ada yang sudah mempunyai sistem dan pengalaman untuk membantu kami berkembang.

“Moneywave juga berpeluang duduk berbincang serta mendapatkan panduan daripada MAMSB dan badan kawal selia, khususnya mengenai perubahan yang bakal berlaku, kepentingan pendigitalan dan bagaimana memastikan operasi sentiasa mematuhi keperluan undang-undang,” katanya.

Menurut Aiman, perkongsian seperti itu penting terutama bagi syarikat yang sedang membangunkan perniagaan dalam industri berkenaan kerana mereka bukan sahaja memerlukan teknologi, malah pemahaman jelas mengenai persekitaran operasi dan kawal selia.

Bertemakan ‘Digital Transformation & Sustainable Growth for MSBs’, persidangan itu menghimpunkan pengendali perniagaan perkhidmatan wang, pakar industri dan penyedia teknologi bagi berkongsi pandangan mengenai perkembangan semasa, cabaran kawal selia serta peluang yang boleh diterokai menerusi penggunaan teknologi.

Bagi industri yang selama ini banyak bergantung kepada urusan secara fizikal, peralihan kepada sistem digital dilihat mampu membuka ruang kepada operasi yang lebih mudah, pantas dan efisien.

Bagaimanapun, usaha itu memerlukan perancangan dan kerjasama semua pihak, terutama bagi pengendali berskala kecil yang mungkin berdepan kekangan kos serta sumber untuk membangunkan sistem teknologi sendiri.

Perkara itu turut menjadi antara perbincangan penting dalam persidangan berkenaan apabila kerjasama antara pemain industri besar dan kecil dilihat mampu membantu mempercepatkan proses pendigitalan.

Menerusi perkongsian platform dan infrastruktur teknologi sedia ada, pengendali MSB berpeluang memanfaatkan kemudahan digital tanpa perlu menanggung keseluruhan kos pembangunan sistem sendiri.

Dalam pada itu, kepentingan industri MSB terhadap ekonomi negara juga tidak boleh dipandang ringan apabila sektor berkenaan memainkan peranan dalam memudahkan transaksi kewangan domestik dan antarabangsa.

Pada 2025, industri itu merekodkan transaksi kiriman wang sebanyak RM105 bilion, meningkat kira-kira 30 peratus berbanding RM80.6 bilion pada tahun sebelumnya.

Aktiviti pertukaran mata wang pula mencatatkan RM67.9 bilion, manakala perniagaan mata wang secara borong merekodkan nilai transaksi sebanyak RM34.3 bilion.

Angka itu menggambarkan skala operasi industri MSB yang turut menyokong keperluan perniagaan, perdagangan antarabangsa dan pekerja migran.

Sehingga Disember 2025, MAMSB mempunyai 252 ahli, selain 364 ahli bersekutu dan 159 ejen hibrid.

Bagi memastikan proses transformasi berjalan lancar, persidangan itu turut memberi pendedahan kepada ahli mengenai penyelesaian teknologi seperti pendaftaran pelanggan secara digital, pengesahan identiti elektronik (e-KYC), teknologi pembayaran, saringan sekatan serta automasi pematuhan.

Pada masa sama, aspek pematuhan terhadap peraturan turut diberi perhatian memandangkan penggunaan teknologi perlu seiring dengan tanggungjawab pengendali sebagai penyedia perkhidmatan kewangan berlesen.

MAMSB juga terus memainkan peranan sebagai penghubung antara pengendali industri dengan badan kawal selia, agensi kerajaan serta pihak berkepentingan bagi memastikan ahli mendapat maklumat terkini mengenai keperluan kawal selia, khususnya di bawah Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011.

Selain itu, persatuan berkenaan melaksanakan pelbagai program pembangunan kapasiti termasuk Group of Compliance Officers (GOCO) dan Money Services Business Directors Education Programme (MSB-DEP).

Program itu memberi tumpuan kepada aspek pencegahan pengubahan wang haram, usaha mengenali pelanggan, pengurusan risiko, tadbir urus korporat serta tanggungjawab pengarah dalam memastikan operasi perniagaan mematuhi peraturan.

Kerjasama antara pengendali besar dan kecil, khususnya melalui penggunaan platform digital serta perkhidmatan perkongsian, juga dilihat mampu menjadi pemangkin kepada transformasi yang lebih bersistematik.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp
Tentang Penulis
Deel AnjerWartawan, The Step | 199 siaran

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.

Lihat semua tulisan

Berita berkaitan

Ekonomi Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan melebihi 5% pada tahun 2026.
Bisnes

Ekonomi Malaysia berkembang 5.5% suku ketiga 2026

Oleh The Step18 November 2026 pada 02:18 PTG
Projek ECRL merupakan inisiatif pembangunan infrastruktur rel nasional yang menghubungkan bandar dan kawasan luar bandar di Pantai Timur dengan Pantai Barat Semenanjung sepanjang 665 kilometer.
Bisnes

ECRL: Kerajaan pastikan obligasi pembayaran balik pinjaman diurus dengan baik

Oleh Metra Syahril Mohamed18 November 2026 pada 07:24 PG
EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com