The Step - Every Story Moves You

Ekonomi Malaysia berkembang 5.5% suku ketiga 2026

Pertumbuhan eksport terus mengukuh, didorong oleh eksport berkaitan teknologi merentas produk elektrik dan elektronik (E&E) serta produk bukan E&E.

TS
Oleh The StepPengarang Berita18 November 2026 pada 02:18 PTG2 min bacaanDikemas kini 18 November 2026 pada 10:50 PTG
Ekonomi Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan melebihi 5% pada tahun 2026.

Ekonomi Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan melebihi 5% pada tahun 2026.

EKONOMI Malaysia meningkat sebanyak 5.5 peratus (%) pada suku ketiga tahun ini, didorong oleh prestasi eksport yang kukuh serta permintaan dalam negeri yang terus berkembang.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), pertumbuhan eksport terus mengukuh, didorong oleh eksport berkaitan teknologi merentas produk elektrik dan elektronik (E&E) serta produk bukan E&E.

Jelasnya, di dalam negeri, perbelanjaan isi rumah disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan dan pertumbuhan pendapatan yang stabil.

"Walau bagaimanapun, pertumbuhan menjadi sederhana berikutan kesan asas yang berpunca daripada pemindahan tunai yang lebih tinggi pada suku ketiga tahun 2025.

"Pertumbuhan pelaburan disokong oleh perbelanjaan yang kukuh untuk struktur serta jentera dan peralatan," jelasnya.

BNM memberitahu, dari segi penawaran, pertumbuhan disokong oleh prestasi kukuh yang berterusan dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.

Katanya, pertumbuhan sektor perkhidmatan didorong oleh pertumbuhan perkhidmatan perniagaan yang lebih kukuh.

Aktiviti sektor perkilangan jelasnya, berkembang dengan lebih pantas, sebahagian besarnya disebabkan oleh permintaan global yang kukuh berkaitan kecerdasan buatan (AI) terhadap produk berkaitan teknologi.

Katanya, pertumbuhan sektor pertanian menjadi kukuh berikutan kadar hasil minyak sawit yang meningkat di seluruh negara.

"Sebaliknya, sektor perlombongan dan pengkuarian mencatatkan penguncupan berikutan pengeluaran minyak dan gas asli yang lebih rendah disebabkan oleh aktiviti penyelenggaraan berjadual.

"Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 1.5%," katanya.

Mengenai inflasi, BNM menambah, inflasi keseluruhan kekal stabil pada 1.9%, manakala inflasi teras menurun kepada 1.7%.

Ringgit pula katanya, kekal stabil berbanding dolar Amerika Syarikat.

Jelas BNM, ringgit terus disokong oleh prospek ekonomi Malaysia yang positif, didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan seiring dengan komitmen kerajaan terhadap pelaksanaan pembaharuan struktur secara berterusan.

Sementara itu, Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang kukuh sebanyak 5.6% pada sembilan bulan pertama tahun 2026 berikutan prestasi eksport yang mantap dan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.

"Oleh itu, ekonomi Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan melebihi 5% pada tahun 2026.

"Pada masa hadapan, ekonomi negara dalam keadaan bersedia untuk memulakan tahun 2027 pada kedudukan yang kukuh, disokong oleh asas ekonomi yang teguh dan prospek ekonomi yang positif," katanya.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp

Berita berkaitan

EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com