EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com
Sukan

MASOC 2027, LTdL26 bekerjasama promosi Sukan SEA, Sukan Para ASEAN

Edisi ke-30 LTdL26 akan bermula dengan Peringkat 1 Shah Alam-Kampar pada Ahad ini dan berakhir dengan Peringkat 8 Muar ke Putrajaya pada 4 Oktober depan, membabitkan jarak keseluruhan 1,285.5 kilometer.

The Step21 September 2026 pada 08:59 PTGDikemas kini 21 September 2026 pada 09:04 PTG
Abdul Rashid Yaakup (lima kiri) memperkenalkan jersi raja pecut ketika bergambar bersama rakan strategik pada majlis sidang media pengumuman rakan strategik Sukan SEA dan Para ASEAN Le Tour De Langkawi di Casa 4 Majlis Sukan Negara.

Abdul Rashid Yaakup (lima kiri) memperkenalkan jersi raja pecut ketika bergambar bersama rakan strategik pada majlis sidang media pengumuman rakan strategik Sukan SEA dan Para ASEAN Le Tour De Langkawi di Casa 4 Majlis Sukan Negara.MASIC 2027

JAWATANKUASA Penganjur Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Malaysia (MASOC) 2027 merakamkan penghargaan atas peluang yang diberikan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) untuk sama-sama menjayakan perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026, antara perlumbaan berbasikal paling berprestij di rantau Asia.

Menerusi perlumbaan LTdL tahun ini, Sekretariat MASOC 27 selaku urusetia penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 akan memiliki platform terbaik mempromosikan temasya sukan serantau Asia Tenggara itu bersama acara berbasikal yang cukup terkenal di seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MASOC 2027, Datuk Abdul Rashid Yaakub berkata, menerusi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 bakal berlangsung tidak lama lagi, MASOC 27 memerlukan platform terbaik bagi memastikan temasya itu dipromosikan menerusi konsep ‘integrated marketing solutions’.

Ia katanya, sejajar dengan tanggungjawab mereka untuk merancang, menyelaras dan melaksanakan penganjuran sukan terbesar di rantau Asia Tenggara ini.

"Keputusan kerjasama ini kami ambil berdasarkan keseluruhan pakej pulangan penajaan yang cukup lengkap, khasnya peluang untuk mempromosikan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN ke seluruh dunia menerusi penyiaran antarabangsa.

"Ini selari dengan misi kami bagi memastikan khasnya jiran-jiran kita di Asia Tenggara diuar-uarkan tentang acara ini semasa menonton perlumbaan berbasikal yang saya kira antara yang terbesar di Asia," kata Abdul Rashid pada majlis pengumuman kerjasama promosi Sukan SEA dan Para ASEAN 2027 dengan LTdL 2026 di ibu negara hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Bahagian Pengurusan Acara dan Sukan MSN, Safrushahar Mohd Yusoff dan Ketua Pengarah Operasi Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal.

Menurut Abdul Rashid, LTdL telah memberikan ruang promosi domestik yang sangat unik dan efektif.

“Selain penyiaran TV secara langsung sepenuhnya dan liputan di Astro Arena, Facebook dan YouTube, program-program promosi di sepanjang laluan seperti Cavalcade bersama pertandingan Voice of LTdL yang disertai puluhan ribu rakyat Malaysia sepanjang laluan, dijangka memberikan peluang yang cukup besar untuk acara ini dipromosikan ke seluruh Malaysia dengan kos yang sangat efektif dan menjimatkan.

“Penjenamaan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 akan terlihat menerusi salah satu jersi utama perlumbaan LTdL 2026, iaitu Jersi Raja Pecut (King of Sprint Jersey)”, katanya.

Abdul Rashid turut menyatakan kegembiraan atas kejayaan mendapatkan penjenamaan jersi ini, sambil menegaskan bahawa sejak kali pertama LTdL dilangsungkan 30 tahun lalu, jersi ini sentiasa menjadi antara rebutan utama dengan persaingan hebat dalam kalangan pelumba-pelumba handalan dunia untuk memilikinya.

Edisi ke-30 LTdL26 akan bermula dengan Peringkat 1 Shah Alam-Kampar pada Ahad ini dan berakhir dengan Peringkat 8 Muar ke Putrajaya pada 4 Oktober depan, membabitkan jarak keseluruhan 1,285.5 kilometer.

Sebanyak 20 pasukan termasuk dua pasukan WorldTeam, lapan ProTeam, sembilan pasukan Benua dan satu pasukan kebangsaan Malaysia akan mengambil bahagian dalam edisi ke-30 kali ini.

Antara pakar pecut yang dijangka menghangatkan perebutan jersi biru Raja Pecut kali ini ialah pelumba XDS-Astana, Matteo Malucelli yang mengumpul enam kemenangan peringkat sepanjang LTdL23 hingga LTdL25 dan bergelar Raja Pecut LtdL24 ketika bersama pasukan Benua Jepun, UKYO.

Sementara itu Safrushahar berkata, MSN selaku antara jawatankuasa penting yang perlu memastikan kejayaan penganjuran Sukan SEA dan Para 2027 berterima kasih dengan kesudian MASOC untuk menjalin kerjasama dengan LTdL26.

Katanya, pihak MSN telah bersetuju supaya promosi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 ditonjolkan menerusi penjenamaan untuk jersi Raja Pecut, King of Sprint, pada LTDL 2026 ini.

Tentang Penulis

The Step

Pengarang Berita

Berita berkaitan