EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com
Rencana

Masih makan telur penyu? 2 juta pernah dikutip setahun

Hampir 100 peratus telur penyu yang bertelur di pantai Semenanjung Malaysia dikutip sebelum penghujung 1950-an

Deel Anjer22 September 2026 pada 08:36 PTGDikemas kini 22 September 2026 pada 09:15 PTG
Biarkan telur penyu menjadi anak penyu, bukan lauk manusia.

Biarkan telur penyu menjadi anak penyu, bukan lauk manusia.Facebook: Public Health Malaysia

SEBANYAK 195 telur penyu belimbing atau Raja Penyu yang dipindahkan ke tapak pengeraman di Terengganu bulan ini.

Di sebalik berita gembira ini, ia kembali mencetuskan persoalan mengenai kelangsungan spesies berkenaan, termasuk amalan pengambilan telur penyu untuk makanan.

Tiga pendaratan penyu belimbing direkodkan di pesisir pantai Terengganu sepanjang September ini, membabitkan keseluruhan 195 telur yang dipindahkan ke tapak pengeraman bagi meningkatkan peluang penetasan dan kelangsungan hidup spesies berkenaan.

Perkembangan itu turut dikongsikan Public Health Malaysia menerusi Facebook dengan mengimbas sejarah pengambilan telur penyu di Semenanjung Malaysia yang pernah berlaku dalam skala besar.

Biarkan telur penyu menjadi anak penyu, bukan lauk manusia.

Menurut hantaran berkenaan yang memetik kajian diterbitkan dalam Environmental Health, hampir 100 peratus telur penyu yang bertelur di pantai Semenanjung Malaysia pernah dikutip untuk kegunaan manusia sebelum penghujung 1950-an, dengan jumlah dianggarkan mencecah dua juta telur setahun.

Angka itu menggambarkan bagaimana permintaan terhadap telur penyu pernah memberi tekanan besar terhadap sumber pembiakan spesies berkenaan.

Malah, sekitar 50 tahun kemudian, permintaan terhadap telur penyu masih direkodkan apabila kira-kira 422,000 telur penyu dianggarkan diperdagangkan di pasaran tempatan Terengganu pada 2007.

Walaupun angka berkenaan merujuk kepada jumlah telur yang diperdagangkan dan bukan kesemuanya disahkan dimakan, ia menunjukkan kewujudan pasaran yang besar terhadap telur penyu pada ketika itu.

Namun, keadaan kini berubah dengan kesedaran mengenai pemuliharaan penyu semakin meningkat selain undang-undang berkaitan turut diperketatkan.

Di Terengganu, Enakmen Penyu 1951 dipinda pada 2021 bagi mengharamkan penjualan telur semua spesies penyu laut, dengan larangan itu berkuat kuasa pada 1 Jun 2022.

Hantaran Public Health Malaysia itu turut memetik kajian pada 2022 yang menganalisis 60 telur penyu agar dari Terengganu dan Sabah.

Kajian berkenaan dilaporkan mengesan enam jenis logam termasuk merkuri, kadmium dan plumbum, selain bakteria Gram-negatif termasuk Salmonella dan Proteus.

Sehubungan itu, masyarakat diseru supaya tidak membeli atau memakan telur penyu selain tidak menjadikannya sebagai makanan eksotik untuk dicuba.

Orang ramai yang menemui penyu naik ke pantai untuk bertelur juga dinasihatkan supaya tidak menyentuh atau mengganggu haiwan berkenaan.

Dalam masa yang sama, perlu mengurangkan penggunaan cahaya serta memaklumkan kepada Jabatan Perikanan bagi membolehkan tindakan perlindungan dilakukan.

Daripada jutaan telur penyu yang pernah dikutip untuk kegunaan manusia, usaha pemuliharaan hari ini memberi tumpuan kepada memastikan telur yang masih ada dapat menetas dan generasi baharu penyu kembali ke laut.

Biarkan telur penyu menjadi anak penyu, bukan lauk manusia.

Tentang Penulis

Foto profil Deel Anjer
Deel Anjer

Wartawan

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.

Berita berkaitan