PRN Melaka: 31 Oktober hari penamaan calon, 14 November mengundi
Pilihan raya ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM28.45juta.


Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 31 Oktober (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 13 November (Jumaat).
SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, hari penamaan calon ditetapkan 31 Oktober, manakala mengundi awal pada 10 November.
Undi awal pula jelasnya, ditetapkan pada 10 November.
"Kita telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berhubung dengan pengisytiharan pembubaran DUN pada 23 September lalu.
"Sehubungan dengan itu, SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas hari ini dan memutuskan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Melaka Ke-16 hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan 28 kerusi DUN tersebut," katanya.
Ramlan memberitahu, tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 31 Oktober (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 13 November (Jumaat).
Jelas beliau, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara telah dibuka dari 23 September (Rabu).
Katanya, permohonan undi pos bagi semua kategori iaitu Kategori 1A (Petugas Pilihan Raya, Anggota/Pegawai SPR dan Petugas Media), Kategori 1B (Warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara) dan Kategori 1C (Agensi/Organisasi), dilaksanakan secara dalam talian (online).
"Bagi menjalankan proses PRN, SPR telah melantik 28 orang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh 80 orang Penolong Pegawai Pengurus.
"Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan 28 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh wakil-wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding.
"Pilihan raya ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM28.45juta," katanya.
Katanya, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan adalah Daftar Pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Julai Tahun 2026 yang dikemas kini sehingga 22 September.
DPPR bagi PRN Melaka Ke-16 ini katanya, mengandungi seramai 687,697 orang pemilih yang terdiri daripada 675,166 orang pengundi biasa, 9,769 orang tentera serta pasangan dan 2,762 orang polis.

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


