EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com
Politik

PN dakwa ada unsur niat tidak baik, tindakan RoS berlaku ketika DUN Melaka dibubarkan

PN tidak menolak kemungkinan tindakan berkenaan mempunyai unsur niat tidak baik atau mala fide serta tekanan politik

The Step24 September 2026 pada 10:47 PGDikemas kini 24 September 2026 pada 10:57 PG
PN dakwa unsur niat tidak baik, tindakan RoS berlaku ketika DUN Melaka dibubarkan

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin

Perikatan Nasional (PN) tidak menolak kemungkinan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menggantung semua kegiatan parti itu serta memulakan proses pembatalan pendaftarannya mempunyai unsur niat tidak baik (mala fide) dan tekanan politik daripada pihak tertentu.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya mengambil maklum keputusan RoS itu, namun tidak bersetuju dengan asas yang digunakan bagi tindakan berkenaan.

“PN mengambil maklum keputusan RoS di atas, namun tidak bersetuju dengan asas keputusan tersebut dan sedang mengambil langkah-langkah segera melalui proses undang-undang yang tersedia.

“Ini demi mempertahankan matlamat penubuhan dan agenda perjuangannya yang didokong oleh ahli-ahli dan penyokongnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Takiyuddin, PN tidak menolak kemungkinan tindakan berkenaan mempunyai unsur niat tidak baik atau mala fide serta tekanan politik daripada pihak di dalam dan luar parti.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan pihak yang didakwa terbabit atau mengemukakan asas kepada dakwaan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Takiyuddin berkata PN telah menerima notis di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 berhubung hasrat RoS untuk membatalkan pendaftaran parti itu selepas tempoh 30 hari diberikan bagi mengemukakan tunjuk sebab.

Katanya, cadangan pembatalan pendaftaran itu berkaitan aduan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) terhadap PN berhubung satu mesyuarat yang diadakan pada 16 Julai lalu.

Susulan notis berkenaan, PN turut menerima perintah di bawah subseksyen 13(2A) akta sama yang mengarahkan semua kegiatan parti itu digantung sehingga satu tarikh yang belum ditentukan.

Menurut kenyataan itu, notis dan perintah berkenaan masing-masing diserahkan kepada PN pada 22 dan 23 September.

Takiyuddin turut menarik perhatian bahawa tindakan berkenaan berlaku ketika pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka diumumkan dan berkuat kuasa bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sehubungan itu, PN menyeru ahli dan penyokongnya supaya bertenang serta memberi jaminan bahawa perkara berkenaan sedang diuruskan melalui saluran yang tersedia.

Katanya, parti itu juga akan memberikan maklumat dan dokumen berkaitan kepada masyarakat secara telus serta memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa.

Tentang Penulis

The Step

Pengarang Berita

Berita berkaitan