The Step - Every Story Moves You

Kemelut Negeri Sembilan: Tak wajar bicara kesan hari ini tanpa mengakui bagaimana ia bermula

Dalam membicarakan keadaan hari ini tegasnya, adalah penting supaya keseluruhan rentetan peristiwa yang membawa Negeri Sembilan ke tahap ini tidak diketepikan atau ditafsir secara terpilih.

TS
Oleh The StepPengarang Berita30 September 2026 pada 02:24 PTG2 min bacaanDikemas kini 30 September 2026 pada 02:26 PTG
Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO negeri, Muhammad Sufian Maradzi.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO negeri, Muhammad Sufian Maradzi.

UMNO Negeri Sembilan menegaskan adalah tidak wajar untuk membicarakan kesan kemelut institusi dan pentadbiran negeri hari ini tanpa mengakui bagaimana kemelut tersebut bermula.

Untuk itu Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO negeri, Muhammad Sufian Maradzi mengingatkan pihak tertentu supaya jangan sampai berlaku keadaan baling batu sembunyi tangan, sedangkan pentadbiran hari ini sedang berdepan pertikaian diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.

Jelas beliau, pertikaian inilah yang menjadi antara asas kepada hilangnya keyakinan UMNO, Barisan Nasional (BN) terhadap kepimpinan Menteri Besar ketika itu.

Pendirian tersebut katanya, bukan penolakan terhadap konsep Kerajaan Perpaduan, tetapi terhadap cara krisis institusi dan pentadbiran negeri dikendalikan di bawah kepimpinan beliau.

"Apabila penyelesaian politik tidak dicapai, beliau sendiri yang memilih Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dibubarkan dan mandat dikembalikan kepada rakyat.

"Pilihan raya telah berlangsung, rakyat telah membuat keputusan dan sebuah kerajaan baharu telah dibentuk melalui proses demokrasi yang sah. Mandat tersebut wajib dihormati sebagaimana semua pihak sebelum ini menuntut supaya kehendak rakyat dihormati," jelasnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri hari ini perlu diberikan ruang untuk menyelesaikan kemelut tersebut secara tertib, berperlembagaan dan penuh adab.

Katanya, perkara yang menyentuh institusi diraja, adat dan struktur pemerintahan Negeri Sembilan tidak seharusnya diperlakukan sebagai medan untuk mencipta tekanan politik atau mendahului proses yang sedang berjalan.

Terdahulu pihaknya mengambil maklum kenyataan PKR Negeri Sembilan berhubung kemelut yang berlaku itu.

Dalam membicarakan keadaan hari ini tegasnya, adalah penting supaya keseluruhan rentetan peristiwa yang membawa Negeri Sembilan ke tahap ini tidak diketepikan atau ditafsir secara terpilih.

"Peristiwa 17 April 2026 merupakan antara titik paling penting dalam perkembangan tersebut. Kedudukan Undang Luak Sungei Ujong pada ketika itu dikatakan telah diputuskan secara kolektif melalui Dewan Keadilan dan Undang, namun perkara itu kemudiannya dipertikaikan oleh pihak-pihak yang hadir, termasuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.

"Justeru, persoalan mengenai Minit Mesyuarat DKU 17 April 2026 kekal fundamental. Mengapa rekod yang menjadi asas kepada keputusan sebesar itu tidak dikemukakan ketika pertikaian mula berlaku?

"Sekiranya rekod tersebut diperjelaskan sejak awal, sebahagian besar kekeliruan, pertikaian institusi dan krisis pentadbiran yang menyusul berkemungkinan dapat dielakkan," katanya.

Beliau mengingatkan PKR Negeri Sembilan bahawa jika mahu melihat kemelut ini diselesaikan, maka mulakan dengan persoalan yang masih menjadi asas kepada keseluruhan krisis: pihak yang sedang dalam pertikaian menuntut dokumen tersebut dan kerajaan sebelum ini gagal menyelesaikan perkara itu dengan tertib dan beradab.

Katanya, jangan memilih hanya sebahagian daripada naratif yang sesuai dengan kepentingan politik semasa.

"UMNO Negeri Sembilan menyeru rakyat agar melihat rentetan peristiwa yang berlaku bermula di zaman pentadbiran kerajaan pimpinan PKR dan bagaimana kita sampai ke tahap ini sebelum meletakkan kesalahan terhadap kerajaan yang kini sedang berusaha menyelesaikannya.

"Kerajaan negeri hari ini memikul satu tanggungjawab yang berat: menyelesaikan kemelut yang diwarisi dengan berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Adat Perpatih, keputusan mahkamah dan bidang kuasa institusi-institusi yang sah.

"Semua pihak wajib menjaga bahasa dan tindakan supaya tidak mendahului proses tersebut," katanya.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp

Berita berkaitan

SPRM.
Nasional

Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM

Oleh Metra Syahril Mohamed27 Oktober 2026 pada 08:07 PG
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Nasional

Kajian baseline RUU pengurusan bencana dijangka selesai dalam 12 bulan

Oleh Metra Syahril Mohamed27 Oktober 2026 pada 07:44 PG
EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com