EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com
Politik

‘EXCO sedia ada masih sah’ – Ismail Lasim

Kedudukan serta tempoh perjawatan EXCO perlu ditafsirkan secara menyeluruh berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959

Deel Anjer21 September 2026 pada 01:34 PTGDikemas kini 21 September 2026 pada 01:41 PTG
kedudukan serta tempoh perjawatan EXCO perlu ditafsirkan secara menyeluruh berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959

Mana-mana tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian seseorang EXCO yang dibuat tanpa nasihat atau permintaan Menteri Besar adalah tidak sah dari sudut perundangan - Ismail LasimFacebook: Ismail Lasim

MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menegaskan sebarang tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) tanpa nasihat atau permintaan rasmi Menteri Besar adalah satu kekhilafan dari sudut perundangan, tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang.

Beliau berkata, kedudukan serta tempoh perjawatan EXCO perlu ditafsirkan secara menyeluruh berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, selain berteraskan prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Menurutnya, berdasarkan Bahagian Kedua UUTKNS 1959, kuasa Kedaulatan Raja dalam hal pentadbiran negeri hendaklah dijalankan atas nasihat Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Menurut Perkara 40(1) UUTKNS 1959, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan hendaklah bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri Besar dalam menjalankan fungsi pentadbiran (eksekutif) di bawah Bahagian Kedua Perlembagaan Negeri,” katanya menerusi kenyataan media yang dimuat naik di media sosialnya hari ini.

Ismail berkata, kuasa budi bicara yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Besar dalam hal pentadbiran pula hanya merangkumi perkara yang dinyatakan secara bertulis di bawah Perkara 40(2) UUTKNS 1959.

Jelasnya, kuasa untuk memberhentikan atau menamatkan tempoh jawatan EXCO secara bersendirian tidak termaktub dalam lingkungan kuasa budi bicara berkenaan.

Beliau turut menegaskan Perkara 38(5) UUTKNS 1959 yang menyentuh tempoh perjawatan seseorang EXCO tidak boleh dibaca secara berasingan, sebaliknya perlu dibaca bersama Perkara 38(4) dan Perkara 40(1).

“Ini bermakna, sebarang penamatan atau perubahan kedudukan barisan EXCO semasa pentadbiran berjalan hanya boleh berkuat kuasa atas nasihat atau permintaan rasmi daripada Menteri Besar,” katanya.

Sehubungan itu, Ismail menegaskan mana-mana tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian seseorang EXCO yang dibuat tanpa nasihat atau permintaan Menteri Besar adalah tidak sah dari sudut perundangan.

Beliau pada masa sama berkata, dirinya tidak pernah dirujuk atau pada bila-bila masa menasihati berhubung pemberhentian mana-mana EXCO Kerajaan Negeri Sembilan menurut Perkara 38(5) UUTKNS 1959.

“Dengan itu tidak ada keperluan mengemukakan senarai EXCO yang baharu kerana EXCO yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa,” katanya.

Ismail berkata, Kerajaan Negeri Sembilan akan terus mempertahankan keluhuran perlembagaan bagi memastikan kestabilan pentadbiran dan mandat rakyat sentiasa dipelihara berlandaskan lunas undang-undang yang sah.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika berlaku perkembangan mengenai kedudukan barisan EXCO Negeri Sembilan susulan pembatalan pelantikan semua EXCO berkuat kuasa serta-merta.

https://www.facebook.com/share/p/1HmQfk43n3/

Tentang Penulis

Foto profil Deel Anjer
Deel Anjer

Wartawan

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.

Berita berkaitan