Akta Perkhidmatan Parlimen kembali berkuat kuasa selepas lebih tiga dekad
Penguatkuasaan akta ini merupakan antara pencapaian signifikan agenda reformasi institusi Kerajaan MADANI dan satu detik bersejarah bagi Parlimen Malaysia setelah Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 [Akta 394] dimansuhkan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1992 [Akta A837] berkuat kuasa pada 20 November 1992.

Azalina Othman Said
AKTA Perkhidmatan Parlimen 2025 [Akta 869] kembali berkuat kuasa hari ini selepas lebih tiga dekad dimansuhkan, sekali gus memperkukuh kedudukan Parlimen sebagai badan perundangan tertinggi dalam sistem demokrasi berparlimen negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia mengembalikan semula autonomi Parlimen melalui pewujudan suatu perkhidmatan khusus yang membolehkan Parlimen menguruskan pentadbiran, sumber manusia dan hal ehwalnya dengan lebih bebas dan berkesan.
Jelas beliau, penguatkuasaan akta ini merupakan antara pencapaian signifikan agenda reformasi institusi Kerajaan MADANI dan satu detik bersejarah bagi Parlimen Malaysia setelah Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 [Akta 394] dimansuhkan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1992 [Akta A837] berkuat kuasa pada 20 November 1992.
"Kerajaan MADANI merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas perkenan Seri Paduka menetapkan 1 Oktober 2026 sebagai tarikh kuat kuasa Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 [Akta 869] serta pindaan berkaitan kepada Perlembagaan Persekutuan.
"Reformasi ini turut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI yang mendukung prinsip doktrin pengasingan kuasa dan sistem semak dan imbang antara cabang perundangan, eksekutif dan kehakiman," jelasnya dalam kenyataan.
Azalian memberitahu, dengan autonomi institusi yang lebih kukuh, Parlimen dapat melaksanakan fungsi perlembagaan serta tanggungjawabnya kepada rakyat dengan lebih bebas, berkesan dan berwibawa.
Sehubungan dengan itu, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri merangkap Ketua Majlis Parlimen, Yang Dipertua Dewan Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat atas kerjasama dan sumbangan dalam merealisasikan reformasi penting itu.
"Juga penghargaan kepada barisan Jemaah Menteri, Ahli-Ahli Parlimen, Parlimen Malaysia, Jabatan Peguam Negara serta semua kementerian, jabatan, agensi dan pihak berkepentingan termasuk badan bukan kerajaan serta organisasi masyarakat sivil.
"Kerajaan MADANI akan terus melaksanakan agenda reformasi institusi secara tersusun dan berterusan bagi memperkukuh institusi demokrasi negara serta memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi negara terus terpelihara," katanya.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


