Upacara perkahwinan sivil tak boleh disamakan dengan ritual keagamaan
Akta 164 memperuntukkan kuasa kepada Pendaftar Perkahwinan dan Penolong Pendaftar Perkahwinan yang dilantik untuk mengupacarakan serta mendaftarkan perkahwinan sivil.

Jabatan Pendaftaran Negara.
PENGUPACARAAN perkahwinan sivil oleh pihak yang diberi kuasa di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164] tidak boleh disamakan dengan pelaksanaan ritual keagamaan sesuatu agama.
Perkara itu diterangkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mengingatkan masyarakat agar sentiasa memahami fakta dan peruntukan undang-undang yang berkaitan sebelum membuat sebarang tafsiran atau menyebarkan maklumat, khususnya dalam perkara yang menyentuh sensitiviti agama.
Menurut JPN, dalam konteks perkahwinan bukan Islam di Malaysia, adalah penting untuk membezakan antara pelaksanaan upacara keagamaan dengan pengupacaraan serta pendaftaran perkahwinan sivil yang diperuntukkan di bawah Akta 164.
"Setiap agama mempunyai upacara, adat dan amalan perkahwinan masing-masing, sama ada Buddha, Kristian, Hindu atau agama lain.
"Pelaksanaan ritual keagamaan tersebut merupakan urusan penganut dan pemimpin agama masing-masing, selaras dengan kepercayaan serta amalan agama berkenaan," jelasnya dalam kenyataan.
JPN memberitahu, dari sudut undang-undang negara pula, perkahwinan pasangan bukan Islam yang tertakluk kepada Akta 164 hendaklah dilaksanakan dan didaftarkan mengikut peruntukan yang ditetapkan bagi memastikan status perkahwinan diiktiraf secara sah.
Oleh itu jelasnya, Akta 164 memperuntukkan kuasa kepada Pendaftar Perkahwinan dan Penolong Pendaftar Perkahwinan yang dilantik untuk mengupacarakan serta mendaftarkan perkahwinan sivil.
"Perkahwinan boleh dilaksanakan di pejabat JPN atau di rumah ibadat dan persatuan melalui Penolong Pendaftar Perkahwinan yang diberi kuasa, tertakluk kepada syarat dan prosedur undang-undang yang berkuat kuasa.
"Justeru, pengupacaraan perkahwinan sivil oleh pihak yang diberi kuasa di bawah Akta 164 tidak boleh disamakan dengan pelaksanaan ritual keagamaan sesuatu agama.
"Fungsi tersebut merupakan tanggungjawab yang dilaksanakan menurut undang-undang negara dan bukannya pengambilalihan peranan pemimpin agama," katanya.
JPN menambah, kerajaan sentiasa menghormati kebebasan beragama serta kepelbagaian adat dan budaya masyarakat Malaysia.
Pada masa yang sama jelasnya, pematuhan kepada undang-undang perkahwinan sivil adalah penting bagi memastikan hak dan kepentingan pasangan, anak-anak serta institusi keluarga terus terpelihara.
Justeru JPN menyeru semua pihak agar menghormati peruntukan undang-undang negara dan tidak menjadikan perbezaan antara urusan sivil dengan amalan keagamaan sebagai asas kepada penyebaran dakwaan yang tidak tepat atau mengelirukan masyarakat.
"JPN akan terus memastikan setiap urusan perkahwinan sivil dilaksanakan secara teratur, profesional dan berlandaskan undang-undang, dengan tetap menghormati kepelbagaian agama, adat dan budaya di negara ini," katanya.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


