Tanggungjawab selesai isu Rohingya tak harus dipikul Malaysia semata-mata
Di peringkat dua hala, Malaysia terus berinteraksi dengan pihak Myanmar bagi menggalakkan langkah yang menyokong kepulangan etnik Rohingya ke Myanmar.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
'TANGGUNGJAWAB untuk menyelesaikan isu Rohingya tidak seharusnya dipikul oleh Malaysia semata-mata'.
Demikian ditegaskan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang melihat penyelesaian yang berkekalan memerlukan komitmen dan tindakan nyata pihak Myanmar untuk menangani punca krisis, disertai sokongan berterusan ASEAN dan masyarakat antarabangsa.
Jelas beliau, biarpun begitu Malaysia akan terus memainkan peranan melalui usaha diplomatik dan kerjasama kemanusiaan bagi menyokong matlamat tersebut.
"Isu penghantaran pulang Rohingya hanya dapat diselesaikan dengan menangani punca utama krisis di Myanmar.
"Sehubungan dengan itu, Malaysia terus melaksanakan pelbagai usaha diplomatik di peringkat dua hala, serantau dan antarabangsa bagi mewujudkan keadaan yang membolehkan etnik Rohingya pulang ke Myanmar secara selamat, sukarela, bermaruah dan mampan," jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai jaminan dan mekanisme diplomatik bersama Kerajaan Myanmar bagi memastikan penghantaran pulang pelarian Rohingya dilaksanakan secara selamat, sukarela dan bermaruah.
Mohamad berkata, di peringkat dua hala, Malaysia terus berinteraksi dengan pihak Myanmar bagi menggalakkan langkah yang menyokong kepulangan etnik Rohingya ke Myanmar.
Penekanan jelasnya, turut diberikan kepada jaminan hak, perlindungan dan peluang yang saksama agar mereka dapat membina semula kehidupan di tempat asal tanpa diskriminasi atau pengecualian.
"Di peringkat serantau pula, ASEAN sehingga kini terus berpegang kepada Kemuafakatan Lima Perkara, atau Five-Point Consensus (5PC), sebagai kerangka utama dalam menangani krisis di Myanmar.
"Penekanan terus diberikan kepada tiga komponen 5PC iaitu usaha menghentikan keganasan, memperluas akses bantuan kemanusiaan tanpa diskriminasi, dan menggalakkan dialog inklusif bersama semua pemegang taruh Myanmar," katanya.
Beliau menambah, Utusan Khas Pengerusi ASEAN Mengenai Myanmar masih meneruskan usaha untuk mendorong pelaksanaan 5PC secara bermakna, sekali gus memastikan kesinambungan usaha ASEAN sejak 2021 ke arah penyelesaian yang praktikal dan berkekalan terhadap krisis tersebut.
Sebagai langkah seterusnya jelas beliau, ASEAN juga sedang mengenal pasti inisiatif tambahan bagi melengkapi usaha sedia ada, dengan objektif ia mendapat penerimaan dan kerjasama Myanmar untuk memulihkan keamanan dan kestabilan negara tersebut.
"Dalam aspek kemanusiaan, Malaysia turut menyokong usaha ASEAN melalui Pusat AHA, atau ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance on disaster management (AHA Centre), bagi membantu penduduk Myanmar yang terjejas akibat konflik.
"Pusat AHA menyelaras penyaluran bantuan kemanusiaan tanpa diskriminasi melalui kerjasama dengan pihak-pihak berkaitan di Myanmar dan, apabila diperlukan, melalui usaha rentas sempadan.
"ASEAN turut bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan rakan-rakan antarabangsa yang lain bagi memperluas jangkauan bantuan serta memastikan ia sampai kepada golongan yang memerlukan," katanya.
Berita berkaitan

Curi kabel di siang hari di Jalan Tun Razak, polis giat buru kumpulan suspek
Oleh The Step21 November 2026 pada 04:14 PTG

Khoo Poay Tiong akui silap, mohon maaf isu premis tutup Jumaat di Kuala Terengganu


