The Step - Every Story Moves You

Tambang ECRL perlu mampu milik, bukan bebankan rakyat

Dengan tambang bermula RM125 sehala dari Gombak ke Kota Bharu, manakala RM147 sehala untuk perkhidmatan ekspres, faktor kemampuan kewangan boleh menjadi penghalang kepada penggunaan ECRL secara lebih meluas.

TS
Oleh The StepPengarang Berita21 Oktober 2026 pada 03:31 PTG2 min bacaanDikemas kini 21 Oktober 2026 pada 03:33 PTG
ECRL dijangka memulakan perkhidmatan pada 12 Disember ini.

ECRL dijangka memulakan perkhidmatan pada 12 Disember ini. ECRL.

KERAJAAN perlu memastikan tambang dikenakan bagi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) benar-benar mampu milik agar dapat mendorong pengguna beralih kepada perkhidmatan rel sebagai pilihan pengangkutan utama bagi perjalanan berkala.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata, untuk itu kerajaan tidak seharusnya hanya menilai sama ada tambah ECRL itu 'munasabah' semata-mata.

Pihaknya bimbang tambang yang dikenakan terlalu mahal bagi mereka yang berpendapatan rendah dan kerap melakukan perjalanan.

"Dengan tambang bermula RM125 sehala dari Gombak ke Kota Bharu, manakala RM147 sehala untuk perkhidmatan ekspres, faktor kemampuan kewangan boleh menjadi penghalang kepada penggunaan ECRL secara lebih meluas.

"Tambahan pula, kadar tersebut hanyalah tambang permulaan. Sekiranya tambang meningkat pada waktu puncak, cuti sekolah dan musim perayaan, adakah ECRL akan menjadi pengangkutan rel paling mahal ketika pengguna benar-benar memerlukannya?" Soalnya.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng.
Naib Presiden MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng.

Ahli Parlimen Tanjung Piai itu memberitahu, tambang bas dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu masih boleh didapati serendah RM34 hingga RM44.

Walaupun perjalanan mengambil masa sekitar lapan hingga sembilan jam jelasnya, perbezaan kos tersebut amat ketara, khususnya bagi pelajar, keluarga berpendapatan rendah dan mereka yang kerap melakukan perjalanan antara kedua-dua destinasi.

"Sekiranya tambang terlalu tinggi sehingga gagal menarik jumlah penumpang yang mencukupi, ECRL berisiko tidak mencapai potensi sepenuhnya untuk mengurangkan kesesakan jalan raya, merancakkan pelancongan di Pantai Timur, menyokong pembangunan bandar-bandar di sepanjang laluan serta merangsang aktiviti ekonomi serantau.

"MCA menggesa Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Rail Link (MRL) memantau dengan teliti jumlah penumpang dalam tempoh enam bulan pertama operasi serta mewujudkan mekanisme untuk menyelaraskan tambang berdasarkan permintaan sebenar," katanya.

Menurut beliau, pilihan tambang yang lebih fleksibel dan bersasar, seperti pakej keluarga, diskaun tiket pergi balik, tambang tempahan awal, tambang luar waktu puncak, pas bulanan serta diskaun kesetiaan bagi mereka yang kerap berulang-alik ke Pantai Timur atas urusan pekerjaan, juga perlu dipertimbangkan.

Katanya, penetapan harga dinamik tidak seharusnya sekadar bermaksud 'permintaan lebih tinggi membawa kepada tambang lebih mahal'.

Sebaliknya jelas beliau, apabila permintaan rendah, tambang juga perlu ditawarkan pada kadar yang lebih murah.

"Hanya dengan pendekatan sedemikian, ECRL dapat menarik lebih ramai penumpang, menggalakkan penggunaan secara tetap dan merealisasikan potensinya sebagai pilihan pengangkutan yang mampu milik serta praktikal untuk rakyat," katanya.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp

Berita berkaitan

EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com