EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com
Nasional

Status tahanan di rumah terhadap Najib: Jabatan Penjara tunggu arahan rasmi

Sebarang pemakluman dan dokumen rasmi berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan akan disampaikan melalui saluran rasmi yang sewajarnya sebelum dikemukakan kepada Jabatan Penjara Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

The Step20 September 2026 pada 01:41 PTGDikemas kini 20 September 2026 pada 01:42 PTG
Najib Tun Razak

Najib Tun Razak.

JABATAN Penjara Malaysia masih menunggu pemakluman rasmi secara bertulis berhubung keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sebelum sebarang tindakan lanjut bagi melaksanakan keputusan berkenaan dapat ditentukan.

Menurut jabatan itu, sebarang pemakluman dan dokumen rasmi berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan akan disampaikan melalui saluran rasmi yang sewajarnya sebelum dikemukakan kepada Jabatan Penjara Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

"Jabatan Penjara Malaysia sentiasa bersedia untuk melaksanakan sebarang arahan rasmi yang diterima daripada pihak berkuasa yang berkenaan, selaras dengan peruntukan undang-undang, peraturan penjara serta tatacara dan prosedur yang sedang berkuat kuasa," jelasnya dalam kenyataan.

Jabatan itu menambah, pihaknya akan melaksanakan sebarang keputusan dan arahan yang diterima secara teratur, profesional dan berintegriti, selaras dengan peruntukan undang-undang serta ketetapan pihak berkuasa yang berkenaan.

"Jabatan Penjara Malaysia mengambil maklum laporan media berhubung keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-64 berkaitan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri itu.

"Berdasarkan kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenankan pengampunan bersyarat dengan membenarkan baki hukuman dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan, termasuk pembayaran denda sebanyak RM50 juta," katanya.

Sehubungan itu, Jabatan Penjara Malaysia menyeru semua pihak agar merujuk kepada sumber rasmi dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai pelaksanaan keputusan tersebut.

Tentang Penulis

The Step

Pengarang Berita

Berita berkaitan