The Step - Every Story Moves You

SPRM perkukuh tatakelola proses pendaftaran kelahiran di JPN

Daripada tujuh syor tersebut, empat dikemukakan kepada JPN, iaitu mengemas kini Prosedur Kualiti: Pendaftaran Lewat Kelahiran; mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi urusan pendaftaran lewat kelahiran yang melibatkan ibu atau bapa warga asing.

TS
Oleh The StepPengarang Berita17 November 2026 pada 08:53 PTG2 min bacaanDikemas kini 17 November 2026 pada 08:55 PTG
Pengarah BPT SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan (dua dari kanan) bersama-sama wakil JPN dan KKM pada sesi pemeteraian Laporan Penambahbaikan Tatakelola di Ibu Pejabat JPN.

Pengarah BPT SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan (dua dari kanan) bersama-sama wakil JPN dan KKM pada sesi pemeteraian Laporan Penambahbaikan Tatakelola di Ibu Pejabat JPN.

BAHAGIAN Penyiasatan Tatakelola (BPT), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan tujuh syor penambahbaikan tatakelola kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memperkukuh tadbir urus, meningkatkan ketelusan serta memastikan integriti dalam proses pendaftaran kelahiran di JPN.

Menurut SPRM, daripada tujuh syor tersebut, empat dikemukakan kepada JPN, iaitu mengemas kini Prosedur Kualiti: Pendaftaran Lewat Kelahiran; mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi urusan pendaftaran lewat kelahiran yang melibatkan ibu atau bapa warga asing.

Selain itu jelasnya, menaik taraf Sistem Pendaftaran Kelahiran Digital JPN serta mengintegrasikannya dengan Sistem Maklumat Rawatan Pelanggan (SMRP) di bawah KKM dan mengadakan sesi libat urus dengan KKM bagi membincangkan integrasi data serta pengumpulan maklumat kelahiran secara bersepadu melalui SMRP.

"Ini termasuk data daripada fasiliti kesihatan swasta, hospital pengajar universiti dan Hospital Angkatan Tentera, bagi membolehkan maklumat kelahiran direkodkan dalam tempoh yang ditetapkan untuk diakses oleh JPN," jelasnya dalam kenyataan.

Sementara itu jelas SPRM, tiga syor dikemukakan kepada KKM, iaitu mewujudkan peraturan yang mewajibkan fasiliti kesihatan swasta melaporkan butiran kelahiran melalui SMRP; mengeluarkan surat arahan kepada fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta, termasuk hospital pengajar universiti serta Hospital Angkatan Tentera, bagi mewajibkan pemakluman kelahiran melalui Sistem Maklumat Rawatan Pelanggan (SMRP-MyHDW).

Syor lain katanya, mengadakan sesi libat urus secara berkala dengan hospital pengajar universiti serta pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menggalakkan penggunaan dan pengumpulan maklumat kelahiran secara bersepadu melalui SMRP-MyHDW.

Jelasnya, syor-syor penambahbaikan tersebut dibentangkan oleh Ketua Cawangan A, BPT SPRM, Yasmin Azura Yahya, dalam satu sesi pembentangan di Ibu Pejabat JPN hari ini.

Dalam pada itu, kedua-dua wakil JPN dan KKM menyambut baik kesemua syor yang dikemukakan oleh SPRM.

Majlis diakhiri dengan sesi pemeteraian Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (Operasi), Sarinah Apisah; Timbalan Pengarah Seksyen Pusat Informatik Kesihatan, Dr. Nuraidah Mohd Marzuki; Timbalan Pengarah Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta, Dr. Faizal Mat Arifin; dan Pengarah BPT SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan.

Pemeteraian laporan ini mencerminkan komitmen bersama SPRM, JPN dan KKM dalam memperkukuh tatakelola proses pendaftaran kelahiran agar dilaksanakan dengan lebih cekap, telus dan berintegriti, selain menutup ruang serta peluang berlakunya ketirisan, salah guna kuasa dan rasuah.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp

Berita berkaitan

EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com