SOP tahanan rumah terhadap Najib sedang diperincikan
SOP ini merangkumi aspek pemantauan, kawalan pergerakan, lawatan serta pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan bagi memastikan pelaksanaan perintah tersebut dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan.

Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani hukuman tahanan rumah.
KEMENTERIAN Dalam Negeri melalui Jabatan Penjara Malaysia sedang memperincikan mekanisme dan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mekanisme berkenaan adalah berdasarkan kepada terma dan syarat yang telah ditetapkan.
"SOP ini merangkumi aspek pemantauan, kawalan pergerakan, lawatan serta pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan bagi memastikan pelaksanaan perintah tersebut dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan," jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) sama ada Najib boleh dibenarkan menjalani hukuman penjara di rumahnya sendiri kalau rumahnya belum lagi diwartakan sebagai sebuah penjara.
Saifuddin memberitahu, pihaknya menjunjung titah perintah Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan Perintah Pengampunan Bersyarat dan tahanan rumah yang meliputi tempat kediaman dan syarat-syarat yang telah diperkenankan Seri Paduka.
Katanya, berdasarkan Perintah Pengampunan Bersyarat bertarikh 18 September lalu, Najib dibenarkan untuk menjalani baki hukumannya secara tahanan di rumah tertakluk sekiranya denda RM50,000,000 dibayar.
Oleh itu jelas beliau, meskipun rumah tersebut belum diwartakan sebagai penjara, pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat tersebut perlu dilaksanakan setelah denda dibayar dan setelah Jabatan Penjara menerima 'Order Of Discharge On Payment Of Fine' daripada mahkamah bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.
Berita berkaitan

Curi kabel di siang hari di Jalan Tun Razak, polis giat buru kumpulan suspek
Oleh The Step21 November 2026 pada 04:14 PTG

Khoo Poay Tiong akui silap, mohon maaf isu premis tutup Jumaat di Kuala Terengganu


