Sokongan moral, solidariti buat Datuk Seri Mohd Shuhaily
"Negara ini perlukan lebih ramai pegawai seperti Datuk Seri (Mohd Shuhaily)".

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain AKPS
GERAKAN Suara Rakyat Malaysia Sejahtera (Suara Rakyat) menyatakan sokongan moral dan solidariti sepenuhnya kepada Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain di atas ketegasan dan integriti beliau menjalankan tugas berkaitan isu keselamatan dan isu yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pengerusi Suara Rakyat, Mohd Zai Mustafa berkata, pihaknya mengikuti rapat perkembangan di KLIA yang menyentuh soal maruah, keselamatan negara dan kedaulatan undang-undang negara.
Menurut beliau, apa yang telah dilakukan oleh Mohd Shuhaily adalah prinsip bertanggungjawab, tegas dan mengikut lunas undang-undang.
"Ia adalah tindakan seorang pegawai yang berani, berintegriti dan tidak tunduk kepada tekanan mana-mana pihak berkepentingan.
"Negara ini perlukan lebih ramai pegawai seperti Datuk Seri (Mohd Shuhaily).
"Apabila undang-undang dilanggar di pintu masuk utama negara seperti KLIA, tidak boleh ada kompromi. Tegas bukan bermakna zalim, tegas bermakna mempertahankan kedaulatan," jelasnya dalam kenyataan.
Beliau memberitahu, Suara Rakyat memberi ingatan kepada mana-mana pihak, jangan cuba menjadikan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) itu sebagai kambing hitam atau mangsa keadaan untuk menutup kelemahan dan salah laku pihak lain.
Pihaknya tegas akan bersuara jika ada usaha-usaha untuk mengenakan tindakan tidak adil ke atas beliau.
"KLIA adalah pintu hadapan negara. Jika isu sedemikian itu pun tidak dapat dikawal dengan tegas, bagaimana kita mahu meyakinkan dunia bahawa Malaysia sebuah negara yang selamat?
"Tindakan beliau seharusnya dipuji dan dijadikan contoh, bukan menjadi bahan untuk dikecam," tegasnya.
Justeru tambahnya, Suara Rakyat berdiri teguh di belakang Mohd Shuhaily dan mahu beliau meneruskan tugas dengan tegas, amanah dan berintegriti.
"Rakyat Malaysia akan tetap bersama anda," katanya.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


