'Sekolah tempat anak-anak tuntut ilmu, bukan tempat hidup dalam ketakutan'
'Sudah terlalu lama kita bercakap tentang buli. Kini yang diperlukan ialah akauntabiliti, penguatkuasaan dan hasil'.

Buli bukan disiplin, hentikan sekarang.
KESALAHAN disiplin mesti ditangani oleh pihak sekolah melalui proses yang sah, bukan melalui 'hukuman' sesama pelajar.
Perkara itu ditegaskan Pengerusi Pertubuhan Negarawati Tanahair, Bibi Sunita Sakandar Khan yang melihat walau apa sekalipun kesalahan disiplin yang mungkin dilakukan seseorang murid, ia tidak pernah menjadi lesen untuk murid lain menghukum, memukul, mengugut, mengaibkan atau melakukan keganasan terhadapnya.
Untuk itu pihaknya menuntut Kementerian Pendidikan (KPM) melakukan penilaian menyeluruh terhadap keberkesanan sistem pencegahan buli yang sedang dilaksanakan dan membentangkan kepada rakyat apakah kelemahannya, siapa yang bertanggungjawab dan apakah pembaharuan yang akan dibuat dengan garis masa yang boleh diukur.
"Lebih membimbangkan, masalah buli bukan isu terpencil. Data KPM yang dilaporkan kepada Parlimen menunjukkan 2,889 kes buli direkodkan pada 2025, termasuk 2,149 kes di sekolah menengah dan 740 di sekolah rendah. Dalam tempoh sama, 3,570 kes salah laku jenayah turut direkodkan.
"KPM sebenarnya telah mempunyai Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli sejak 2023, portal Aduan Buli, saluran telefon dan WhatsApp, program kesedaran serta pelbagai mekanisme intervensi.
"Justeru, persoalan yang wajar dikemukakan kepada Menteri Pendidikan dan kepimpinan KPM ialah, mengapa selepas garis panduan, kempen, portal aduan dan pelbagai pengumuman dilaksanakan, kes buli masih terus berlaku pada skala yang membimbangkan?" Soalnya dalam kenyataan.
Bibi Sunita berkata, sebagai Menteri yang memegang tanggungjawab politik terhadap sistem pendidikan negara, beliau perlu memberikan akauntabiliti yang jelas mengenai keberkesanan dasar, bukan sekadar mengulangi bahawa KPM memandang serius isu buli setiap kali berlaku insiden.
Untuk itu pihaknya mencadangkan tindakan segera berikut:
1. Audit keselamatan dan antibuli secara bebas terhadap semua sekolah berasrama dan sekolah berisiko tinggi, termasuk tahap pematuhan SOP sedia ada;
2. Wujudkan mekanisme aduan bebas, sulit dan dilindungi, supaya mangsa serta saksi tidak takut kepada tindakan balas;
3. Tetapkan tempoh masa mandatori untuk bertindak terhadap setiap laporan buli serta sistem eskalasi terus ke PPD/JPN/KPM bagi kes serius;
4. Kes melibatkan kecederaan serius, ancaman keselamatan atau unsur jenayah hendaklah dirujuk segera kepada PDRM dan tidak diselesaikan semata-mata secara dalaman;
5. Perkukuh pengawasan asrama termasuk warden mencukupi, rondaan, pemetaan kawasan 'blind spot' dan CCTV di kawasan yang sesuai, dengan perlindungan privasi murid;
6. Kenakan akauntabiliti pentadbiran jika terbukti terdapat pegawai yang menyembunyikan laporan, mengabaikan aduan atau gagal melaksanakan SOP;
7. Sediakan intervensi psikologi dan pemulihan kepada mangsa serta intervensi tingkah laku kepada pembuli; hukuman sahaja tidak semestinya memutuskan kitaran keganasan; dan
8. KPM hendaklah menerbitkan laporan nasional berkala mengenai kes buli — jumlah aduan, jenis kes, tindakan, tempoh penyelesaian dan trend — supaya keberkesanan dasar boleh dinilai secara terbuka.
"Sekolah sepatutnya menjadi tempat anak-anak menuntut ilmu, bukan tempat mereka hidup dalam ketakutan. Kita tidak boleh hanya menjadi marah apabila tragedi berlaku, kemudian kembali senyap beberapa minggu selepas itu.
"Sudah terlalu lama kita bercakap tentang buli. Kini yang diperlukan ialah akauntabiliti, penguatkuasaan dan hasil," tegasnya.
Terdahulu beliau bagi pihak Pertubuhan Negarawati Tanahair merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba, Kuala Pilah, atas kehilangan yang amat menyedihkan ini.
"Kami juga menggesa semua pihak menghormati proses siasatan. Setakat 26 September, polis telah menahan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun untuk membantu siasatan, dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Tragedi ini sekali lagi menuntut kita berhadapan dengan persoalan lebih besar: sampai bila masalah buli dan keganasan dalam kalangan pelajar mahu terus berlaku?" Soalnya.
Tentang Penulis
Dari Penulis

Empat maut dalam kemalangan libatkan lima kenderaan
The Step · 27 September 2026 pada 10:09 PG

Masalah disiplin: Ibu bapa punca, langsung tak pernah tegur anak-anak sendiri
The Step · 27 September 2026 pada 08:21 PG

Hentikan drama, filem promosi buli - Asyraf Wajdi
The Step · 26 September 2026 pada 09:28 PTG
Berita berkaitan

Masalah disiplin: Ibu bapa punca, langsung tak pernah tegur anak-anak sendiri
The Step · 27 September 2026 pada 08:21 PG

Hentikan drama, filem promosi buli - Asyraf Wajdi
The Step · 26 September 2026 pada 09:28 PTG

Prasarana pasang penghadang keselamatan platform di Laluan Kelana Jaya, Ampang/Sri Petaling
The Step · 26 September 2026 pada 04:27 PTG



