Rumah ibadat tidak berdaftar jadi stor dadah, lapan ditahan
Hasil semakan hanya seorang suspek warga tempatan mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau di Malaysia.


Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar menunjukkan suspek yang ditahan dalam serbuan di lima lokasi di sekitar Selangor. IPK Selangor.
POLIS menahan lapan individu disyaki terlibat rangkaian sindiket dadah tempatan dan antarabangsa ketika serbuan di sebuah rumah ibadat tidak berdaftar di Klang yang dijadikan stor penyimpanan barang terlarang itu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, ia antara empat lokasi diserbu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor dalam lima serbuan berasingan membabitkan empat sindiket pengedaran dadah.
Operasi katanya, dijalankan dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Gombak dan polis bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bersama Bahagian Saisatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bermula 13 hingga 19 Oktober lalu.
"Dalam lima serbuan itu, kita telah menahan lapan suspek, termasuk seorang wanita warga asing, yang dipercayai terlibat dalam rangkaian sindiket dadah.
"Kita merampas 129 bungkusan plastik berisi ketulan mampat disyaki dadah jenis bunga ganja seberat 81.3 kilogram (kg) selain 327 paket plastik berisi ketulan mampat dadah jenis ganja seberat 37kg dan satu botol serta 3,510 katrij berisi cecair disyaki ketamin, seberat 40kg.
"Lain-lain rampasan, 84 botol cecair ekstasi seberat 36kg, 46 bungkusan heroin seberat 20.6kg dan 17 paket ketamin dengan anggaran berat 25.4kg. Nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM16.2 juta," jelasnya.
Polis jelasnya, turut menyita harta bernilai keseluruhan RM54,835 daripada empat suspek tempatan termasuk antaranya kereta Honda Accord dan Proton Saga.
Katanya, suspek ditahan di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Hasil semakan hanya seorang suspek warga tempatan mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau di Malaysia.
"Semakan dokumen perjalanan bagi suspek warganegara asing mendapati suspek menggunakan pas lawatan sosial untuk memasuki negara ini.
"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dalam operasi kali ini dianggarkan boleh menampung penggunaan sehingga 801,000 pengguna pada satu-satu masa, berdasarkan anggaran 0.3 gram bagi setiap pengguna," katanya.

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


