RON97, RON95 tanpa subsidi naik 20 sen, diesel naik 15 sen seliter
Menurut MoF, kekangan bekalan produk petroleum bertapis terus mengekalkan harga pasaran pada paras tinggi.

Harga runcit produk petroleum bagi tempoh 24 September 2026 - 30 September 2026. — Kementerian Kewangan.
BERDASARKAN formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing meningkat sebanyak 20 sen manakala harga runcit diesel tanpa subsidi naik 15 sen seliter, bagi tempoh 24 September hingga 30 September ini.
Demikian dinyatakan Kementerian Kewangan (MoF) menerusi kenyataan media malam ini.
Mengikut jadual yang disertakan, harga runcit RON97 naik 20 sen kepada RM5.05 seliter berbanding tempoh sebelum ini pada harga RM4.85 seliter.
RON95 naik 20 sen kepada RM4.57 seliter berbanding tempoh seminggu lalu iaitu RM4.37.
Harga runcit diesel pula naik 15 sen kepada RM5.42 seliter.
Menurut MoF, kekangan bekalan produk petroleum bertapis terus mengekalkan harga pasaran pada paras tinggi.
Jelasnya, gangguan terhadap pengeluaran produk petroleum bertapis di Russia, antara pengeksport diesel terbesar dunia, terus mengeruhkan keadaan.
"Eksport diesel dari Asia Barat pula telah merosot lebih 50% dari Mac hingga Ogos 2026. Pemulihan kapasiti penapisan global adalah penting bagi penyederhanaan harga produk petroleum.
"Pada masa sama, pemulihan aliran petroleum melalui Selat Hormuz boleh membantu mengurangkan tekanan terhadap harga minyak mentah dan produk petroleum bertapis," jelasnya.
Namun begitu jelas MoF, ketidaktentuan geopolitik dunia dijangka terus mempengaruhi turun naik harga produk petroleum dalam jangka sederhana.
Kerajaan MADANI katanya, akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global ini, termasuk dengan mengekalkan subsidi bersasar BUDI MADANI bagi pengguna yang layak.
"Pada harga semasa, penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) terus membayar RM1.99 seliter berbanding harga RON95 tanpa subsidi RM4.57 seliter.
"Ini bermakna kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.58 seliter, bersamaan 56% daripada harga tanpa subsidi.
"Penerima BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pula terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga diesel tanpa subsidi RM5.42 seliter, dengan subsidi kerajaan sebanyak RM3.32 seliter, atau 61% daripada harga tanpa subsidi.
Harga petroleum bersubsidi yang dikekalkan adalah seperti berikut:

Jelas MoF, melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan.
Katanya, walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.
"Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi.
"Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin," katanya.
Tentang Penulis
Dari Penulis

Longkang jadi tempat persembunyian, dua warga asing tetap dicekup
The Step · 22 September 2026 pada 03:51 PTG
Berita berkaitan

Mak Kepit jaga telur penyu, tidak perlu dipungut
Deel Anjer · 23 September 2026 pada 10:06 PG
.jpeg&w=3840&q=75)
652 penjawat awam terima ganjaran RM1.18 juta
Metra Syahril Mohamed · 23 September 2026 pada 09:36 PG

“Mana jabatan perikanan, tak pantau ke?” – Netizen
Deel Anjer · 22 September 2026 pada 04:45 PTG




