Resort terbiar di Sungai Lembing jadi pusat 'call centre', 98 individu ditahan
Mereka beroperasi selama 24 jam sehari dan bekerja secara syif.

Antara warga asing yang ditahan di sebuah resort terbiar di Sungai Lembing, Pahang. Jabatan Imigresen
SERAMAI 98 individu, termasuk 95 warga asing, dipercayai ahli sindiket penipuan ditahan dalam operasi khas Jabatan Imigresen di sebuah pusat peranginan terbiar di Jalan Sungai Arang, Sungai Lembing, Kuantan, Pahang, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, mereka menggunakan 'pusat peranginan' yang telah ditutup itu bagi mengaburi pihak berkuasa dan dipercayai berpindah-randah dari satu negara ke negara lain.
Malah jelasnya, mereka beroperasi selama 24 jam sehari dan bekerja secara syif.

"Berdasarkan maklumat risikan yang dijalankan selama 1 bulan, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi pusat peranginan dan berjaya menahan seramai 95 orang warga asing yang dipercayai sebagai ‘ahli sindiket’.
"Mereka ini terdiri daripada 88 warga China, dua warga Myanmar dan masing-masing seorang warga Indonesia, Hong Kong, Vietnam, Kemboja dan Russia.
"Turut ditahan seorang lelaki warga tempatan dipercayai sebagai 'pemilik pusat peranginan', seorang lelaki warga tempatan dan seorang perempuan warga tempatan yang dipercayai ‘bekerja’ di pusat peranginan tersebut," jelasnya.

Beliau memberitahu, kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 75 tahun.
Katanya, semasa pemeriksaan dijalankan terdapat warga asing serta warga tempatan bersembunyi dan cuba melarikan diri namun berjaya dikesan dan ditahan oleh pasukan operasi.
Jelas beliau, pasukan operasi telah menyita lebih 50 pasport asing, senaskhah Surat Perjalanan Laksana Pasport Indonesia (SPLP), 100 unit telefon bimbit, 120 set komputer meja, satu set kamera litar tertutup, sembilan bungkus Sim Kad yang belum digunakan dan wang tunai sebanyak RM5,000.
"Turut disita 11 set peralatan ‘starlink’ yang dipercayai digunakan sebagai talian internet untuk kegiatan ini. Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
"Jabatan ini akan terus komited melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan dan tegas bagi membanteras apa jua aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini agar keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara," katanya.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


