RCI KWAP, KWSP: Kerajaan terbuka pertimbangkan jika ada bukti kukuh
Penubuhan RCI adalah tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119] serta prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
KERAJAAN sentiasa terbuka untuk mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini sekiranya terdapat maklumat, bukti atau dapatan kukuh yang menunjukkan wujud keperluan untuk suatu siasatan awam bersifat menyeluruh dan bebas.
Kerajaan katanya, akan terus memastikan sebarang isu berkaitan pengurusan dana awam, termasuk aspek tadbir urus dan keputusan pelaburan, diteliti berdasarkan fakta dan bukti serta melalui mekanisme pengawasan yang sewajarnya.
"Sekiranya hasil penelitian mendapati terdapat keperluan dan kepentingan awam yang jelas untuk suatu siasatan khas, cadangan penubuhan RCI boleh dipertimbangkan sewajarnya," jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mengenai kesediaan kerajaan mempertimbangkan RCI terhadap KWAP dan KWSP berkaitan tadbir urus, pengurusan pelaburan atau keputusan kewangan yang boleh dipersoalkan.
Azalina berkata, penubuhan RCI adalah tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119] serta prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan.
Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa katanya, cadangan penubuhan RCI hendaklah dikemukakan melalui Memorandum Jemaah Menteri oleh kementerian peneraju untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri.
Jelas beliau, setelah dipersetujui, Perdana Menteri akan menyembah maklum cadangan tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan.
"Sekiranya diperkenankan, penubuhan RCI akan melibatkan penetapan terma rujukan, keanggotaan dan tempoh siasatan, yang kemudiannya dimuktamadkan melalui pewartaan dalam Warta Kerajaan Persekutuan sebelum RCI memulakan fungsinya.
"Justeru, dalam menentukan keperluan penubuhan RCI, sama ada melibatkan institusi yang mengurus dana awam mahupun mana-mana institusi lain, kerajaan akan mengambil kira kepentingan awam, keseriusan isu, fakta dan bukti yang tersedia serta keperluan kepada suatu siasatan yang bebas dan menyeluruh," katanya.
Berita berkaitan

Curi kabel di siang hari di Jalan Tun Razak, polis giat buru kumpulan suspek
Oleh The Step21 November 2026 pada 04:14 PTG

Khoo Poay Tiong akui silap, mohon maaf isu premis tutup Jumaat di Kuala Terengganu


