Rampasan dadah 521kg di Laos: Pemilik syarikat penerbangan persendirian ditahan
Individu itu juga pemilik pesawat yang ditahan pihak berkuasa di Laos.

Gambar yang tersebar di media sosial mengenai rampasan 23 beg berisi 521 kilogram dadah di Laos.
SEORANG pemilik syarikat penerbangan persendirian ditahan, semalam, bagi membantu siasatan lanjutan daripada kes tangkapan serta rampasan 521 kilogram (kg) dadah di Lapangan Terbang Luang Prabang, Laos.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki tempatan itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Menurut beliau, individu itu juga pemilik pesawat yang ditahan pihak berkuasa di Laos.
"Hasil siasatan mendapati syarikat penerbangan itu mempunyai dua buah pesawat seumpamanya yang turut menawarkan perkhidmatan sewaan pesawat persendirian kepada sesiapa sahaja yang membuat tempahan untuk menggunakan perkhidmatan tersebut," jelasnya.
Beliau memberitahu, bagi kes ini, pesawat berkenaan telah disewakan dengan kadar bayaran sejumlah AS$49,500.
Katanya, JSJN Bukit Aman sedang mengenal pasti individu yang membuat tempahan penyewaan tersebut untuk diambil tindakan lanjut.
"JSJN juga turut menahan tiga individu lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, Subang untuk tujuan pemeriksaan dan siasatan lanjut.
"Kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.
Tambah beliau, JSJN komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang.
Pada 1 Oktober lalu, pihak berkuasa Laos merampas 521kg dadah disyaki methamphetamine dalam sebuah jet persendirian yang tiba dari Subang di Lapangan Terbang Luang Prabang.
Siasatan mendapati pesawat itu berlepas dari Subang tanpa membawa muatan sebelum tiba di Luang Prabang kira-kira pukul 11.30 pagi.
Kira-kira dua jam kemudian, dua kenderaan tiba membawa 23 beg yang kemudiannya dipindahkan ke dalam pesawat berkenaan.
Susulan kejadian itu, seramai 13 individu termasuk seorang warga Malaysia serta masing-masing rakyat Singapura dan Filipina ditahan pihak berkuasa Laos bagi membantu siasatan kes penyeludupan dadah rentas negara.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


