Rampasan 521kg dadah di Laos: Polis kenal pasti penglibatan dua warga Filipina
Pada 1 Oktober lalu, pihak berkuasa Laos merampas kira-kira 521 kg methamphetamine kristal daripada sebuah jet persendirian di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang.

Gambar yang tersebar di media sosial mengenai rampasan 23 beg berisi 521 kilogram dadah di Laos.
POLIS mengenal pasti dua warga Filipina dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa susulan rampasan 521 kilogram (kg) dadah pada sebuah pesawat persendirian di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, Laos, 1 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, maklumat berkenaan diperoleh selepas pihaknya merakam percakapan beberapa orang saksi termasuk seorang individu warga tempatan yang bertindak sebagai broker bagi menguruskan penyewaan pesawat persendirian itu.
"Individu tersebut mendedahkan pesawat berkenaan telah disewa oleh seorang lelaki warganegara Filipina berusia 54 tahun, yang dikenal pasti sebagai seorang bekas juruterbang dan mempunyai rekod kesalahan dadah di negara tersebut.
"Dapatan siasatan juga mendedahkan seorang wanita warganegara Filipina berusia 51 tahun, yang dikenal pasti turut terlibat dan dipercayai bertindak sebagai koordinator dalam sindiket ini," jelasnya dalam kenyataan.
Beliau memberitahu, susulan siasatan ke atas tangkapan dan rampasan dadah di Laos, JSJN turut mengenal pasti sindiket dan individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan di Malaysia.
Jelasnya, siasatan berhubung kes ini dikendalikan oleh Unit Siasatan Khas, JSJN Bukit Aman di bawah Seksyen 34 Akta Dadah Berbahaya 1952/ Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu melakukan persubahatan atau perbuatan persediaan di Malaysia bagi kesalahan pengedaran dadah di luar negara.
Pada masa yang sama katanya, JSJN turut bekerjasama dengan Wisma Putra dan pihak Philippine Drug Enforcement Agency (PDEA) bagi mendapatkan maklumat lanjut serta membantu pasukan JSJN dalam siasatan kes ini.
Pada 1 Oktober lalu, pihak berkuasa Laos merampas kira-kira 521 kg methamphetamine kristal daripada sebuah jet persendirian di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang.
Seramai 13 individu ditahan pihak berkuasa Laos berhubung kes itu, termasuk seorang pembantu juruterbang warga Malaysia.
Siasatan polis Malaysia kemudian mendapati pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, menuju Luang Prabang tanpa membawa sebarang kargo.
Pesawat itu dipercayai disewa bagi membawa dadah berkenaan dari Laos ke Manila, Filipina.
Di Malaysia, polis turut menahan juruterbang warga Malaysia berusia 49 tahun yang memiliki sebuah syarikat penerbangan berkaitan dengan jet persendirian terbabit.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


