The Step - Every Story Moves You

Rampasan 1.16 Tan Ketamin di Indonesia, JSJN siasat kemungkinan penglibatan rakyat Malaysia

JSJN sedang menyiasat pergerakan kapal tersebut di Malaysia serta kemungkinan penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti penyeludupan dadah berkenaan.

TS
Oleh The StepPengarang Berita24 Oktober 2026 pada 06:28 PTG2 min bacaanDikemas kini 24 Oktober 2026 pada 06:40 PTG
Gambar JANAAN aI

JSJN Bukit Aman sedang menyiasat kemungkinan penglibatan rakyat Malaysia dalam kegiatan penyeludupan dadah rentas negara susulan penahanan kapal tangki MT GLOBAL 168 yang membawa 1.16 tan ketamin di perairan Indonesia Foto: Janaan AI

JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman sedang menyiasat kemungkinan penglibatan rakyat Malaysia dalam kegiatan penyeludupan dadah rentas negara susulan penahanan kapal tangki MT GLOBAL 168 yang membawa 1.16 tan ketamin di perairan Indonesia, 20 Oktober lalu.

Lebih mengejutkan, hasil siasatan awal mendapati kapal berkenaan pernah mengemukakan permohonan untuk didaftarkan di bawah bendera Malaysia, namun permohonan itu tidak berjaya dan kapal berkenaan masih menggunakan bendera Mongolia.

Menurut kenyataan Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan, kapal tangki itu dipercayai memulakan pelayaran dari Malaysia sebelum menuju ke Laut Andaman dan disyaki terbabit dalam aktiviti pemindahan muatan antara kapal atau ship-to-ship transfer di tengah laut.

“JSJN sedang meneliti maklumat pemilikan serta sejarah pendaftaran kapal tersebut bagi mengenal pasti sebarang kaitan dengan kes penyeludupan dadah berkenaan,” menurut kenyataan itu menerusi Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM.

Semakan awal turut mendapati MT GLOBAL 168 dimiliki sebuah syarikat berdaftar di Malaysia, iaitu Makmur Marine Petroleum Sdn Bhd yang beribu pejabat di Johor Bahru, Johor.

Syarikat berkenaan didaftarkan atas nama dua individu warganegara Malaysia yang masing-masing berusia dalam lingkungan 40-an dan 50-an.

Bagaimanapun, semakan rekod mendapati kedua-dua pengarah berkenaan tidak mempunyai rekod lampau.

Dalam operasi pihak berkuasa Indonesia itu, seramai lapan kru kapal ditahan bagi membantu siasatan, terdiri daripada tujuh lelaki warga Indonesia berusia antara 25 hingga 71 tahun dan seorang lelaki warga China berusia 42 tahun.

JSJN memaklumkan pihaknya bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa Indonesia, khususnya Polis Republik Indonesia (POLRI), melalui perkongsian maklumat dan risikan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“JSJN sedang menyiasat pergerakan kapal tersebut di Malaysia serta kemungkinan penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti penyeludupan dadah berkenaan.

“Sekiranya terdapat bukti atau maklumat yang menunjukkan penglibatan mana-mana individu atau rangkaian sindiket di Malaysia, tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

JSJN turut menegaskan pihaknya memandang serius sebarang aktiviti penyeludupan dadah rentas negara dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit.

Menurut jabatan itu, kerjasama erat serta perkongsian maklumat antara agensi penguat kuasa kedua-dua negara amat penting bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp

Berita berkaitan

EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com