Program Kepulangan Pakar: Lebih 5,000 kembali berkhidmat ke Malaysia
TalentCorp terus memperkukuh usaha membangunkan 'brain circulation' dengan memanfaatkan kepakaran dan jaringan rakyat Malaysia di luar negara sebagai aset strategik negara.

TalentCorp terus memperkukuh usaha membangunkan 'brain circulation' dengan memanfaatkan kepakaran dan jaringan rakyat Malaysia di luar negara sebagai aset strategik negara.
SERAMAI 5,234 orang rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara telah kembali berkhidmat ke tanah air menerusi Program Kepulangan Pakar (REP) yang dilaksanakan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), sejak 2011 sehingga Ogos lalu.
Menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), REP menjadi mekanisme penting bagi menarik kembali rakyat Malaysia berkemahiran tinggi untuk menyumbang kepada ekonomi negara.
"Sejak 2011 sehingga Ogos lalu, REP telah menerima sebanyak 12,850 permohonan, dengan 8,093 permohonan diluluskan dan 5,234 pakar telah kembali bekerja di Malaysia," jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Ia bagi menjawab soalan Shaharizukirnain Abd. Kadir (PN-Setiu) mengenai keberkesanan REP berdasarkan statistik permohonan, kelulusan serta jumlah pakar yang sah kembali bekerja di Malaysia.
KESUMA memberitahu, TalentCorp terus memperkukuh usaha membangunkan 'brain circulation' dengan memanfaatkan kepakaran dan jaringan rakyat Malaysia di luar negara sebagai aset strategik negara.
Melalui MyHeart jelasnya, diaspora berkepakaran dihubungkan dengan peluang pekerjaan, termasuk melalui MyHeart Networking Session yang memberi akses kepada peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan pengalaman, kepakaran dan tahap kemahiran mereka serta jaringan industri di tanah air.
"Sebagai komponen baharu, MyHeart Global Connect (MGC) pula menghimpunkan pakar diaspora terpilih untuk memberi khidmat nasihat, berkongsi kepakaran dan meneroka peluang kerjasama dengan pihak berkepentingan di Malaysia.
"Tumpuan awal diberikan kepada kecerdasan buatan (AI), teknologi dan keusahawanan, penjagaan kesihatan serta keutamaan strategik Malaysia–Singapura," katanya.
Jelas KESUMA, bagi memudahkan lagi kepulangan bakat diaspora bersama keluarga, kerajaan melalui kerjasama antara KESUMA, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen dan TalentCorp menyediakan Garis Panduan Permohonan Permit Masuk di bawah Kategori REP sebagai rujukan yang lebih jelas.
Ini katanya, berkaitan tatacara permohonan permit masuk bagi tanggungan peserta REP, sekali gus meningkatkan keyakinan bakat berkemahiran tinggi untuk kembali ke Malaysia bersama keluarga.
Berita berkaitan

Curi kabel di siang hari di Jalan Tun Razak, polis giat buru kumpulan suspek
Oleh The Step21 November 2026 pada 04:14 PTG

Khoo Poay Tiong akui silap, mohon maaf isu premis tutup Jumaat di Kuala Terengganu


