Polis kesan lelaki pecah pintu kaca, tuang cecair busuk dalam masjid
Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati pintu kaca masjid telah dipecahkan dan terdapat cecair berwarna coklat kehijauan serta berbau kurang menyenangkan dituang pada karpet di ruang solat.

Tangkap layar daripada rakaman CCTV menunjukkan perbuatan khianat seorang lelaki menuang cecair berbau kurang menyenangkan di ruang solat. Media sosial.
POLIS sedang mengenal pasti seorang lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan perbuatan khianat dalam kejadian di Masjid Al-Aziz Al Hadi, Kota SPP Warisan di Tumpat, semalam.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, pihaknya telah menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian berkenaan, kira-kira pukul 6.35 pagi.
Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati pintu kaca masjid telah dipecahkan dan terdapat cecair berwarna coklat kehijauan serta berbau kurang menyenangkan dituang pada karpet di ruang solat.
"Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut mendapati seorang lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut," jelasnya dalam kenyataan.
Mohd Khairi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 295 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek, motif kejadian serta jumlah kerosakan dan kerugian yang terlibat.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius kejadian tersebut dan menegaskan bahawa polis sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan," katanya.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


