Pergaduhan fizikal dua kumpulan remaja, 13 lelaki ditahan
Anggota Rela merampas dua barangan yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan iaitu sebatang cota besi dan sebatang kayu bisbol.

Tangkap layar anggota Rela meleraikan pergaduhan melibatkan dua kumpulan remaja di Ampang.
SERAMAI 13 lelaki, berusia antara 15 hingga 20 tahun, ditahan berhubung kejadian pergaduhan fizikal melibatkan dua kumpulan remaja di Tokong Kuo Ong Yah, dekat Kampung Baru Ampang, Ampang, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 12.01 tengah malam dan siasatan awal mendapati anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertugas di lokasi telah campur tangan bagi meleraikan pergaduhan tersebut.
Malah katanya, anggota berkenaan merampas dua barangan yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan iaitu sebatang cota besi dan sebatang kayu bisbol.
"Susulan itu, pihak pengurusan tokong telah menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.
"Setibanya di lokasi, pihak polis telah menerima penyerahan seramai 13 orang lelaki berusia antara 15 hingga 20 tahun, bersama kedua-dua barangan rampasan, yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut," jelasnya dalam kenyataan.
Khairul Anuar berkata, kesemua individu berkenaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bagi membantu siasatan lanjut.
Pihak polis katanya, turut mengesan satu rakaman video berkaitan kejadian tersebut yang tular menerusi aplikasi Facebook.
Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
"Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang daripada lima tahun serta boleh dikenakan sebatan.
"Pihak polis menasihatkan orang ramai, khususnya golongan remaja, supaya mengelakkan pergaduhan dan provokasi serta tidak menggunakan senjata atau objek berbahaya.
"Ibu bapa juga dinasihatkan agar memantau pergaulan anak-anak bagi mengelakkan mereka terlibat dalam kegiatan jenayah," katanya.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


