Penyu belimbing kembali mendarat, bertelur kali ketiga di Pantai Terengganu
Razali mengingatkan orang ramai supaya tidak hanya menjadikan kehadiran penyu belimbing sebagai satu tarikan, sebaliknya bersama-sama memastikan Rantau Abang terus menjadi habitat yang selamat untuk spesies berkenaan.

Penyu belimbing atau Raja Penyu kembali mendarat di pesisir Pantai Kuala Abang, Dungun, Terengganu
PENYU belimbing atau Raja Penyu kembali mendarat di pesisir Pantai Kuala Abang di sini, awal pagi tadi, sekali gus mencatatkan pendaratan ketiga spesies berkenaan di Terengganu sepanjang September ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris berkata, penyu berkenaan naik ke pantai kira-kira jam 2.10 pagi sebelum bertelur sekitar jam 3.30 pagi, menghasilkan sebanyak 70 biji telur.

Menurutnya, telur berkenaan kemudiannya dipindahkan ke Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (TCIC) Rantau Abang untuk dieram secara terkawal, manakala penyu induk kembali ke laut kira-kira jam 5.25 pagi.
“Alhamdulillah, buat kali ketiga musim ini, penyu belimbing kembali naik bertelur di sekitar Pantai Rantau Abang dan Kuala Abang.
“Yang menarik kali ini, orang ramai berpeluang menyaksikan sendiri detik istimewa ini sehingga penyu kembali semula ke laut. Momen seperti ini sudah lama tidak dirasai, kali terakhir sekitar 2017,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Razali berkata, jarak pendaratan kedua penyu berkenaan dengan lokasi terbaru adalah kira-kira 9 hingga 10 kilometer.
“Alhamdulillah, kali ketiga berjumpa dengan ‘mak’ yang sama,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan pesanan orang lama, sekiranya penyu berkenaan sudah cukup tiga kali bertelur dalam satu musim, ada harapan untuk menantikan kepulangannya pada musim akan datang, bertepatan dengan Tahun Melawat Terengganu 2027.
Dalam pada itu, Razali mengingatkan orang ramai supaya tidak hanya menjadikan kehadiran penyu belimbing sebagai satu tarikan, sebaliknya bersama-sama memastikan Rantau Abang terus menjadi habitat yang selamat untuk spesies berkenaan.
Beliau menyeru orang ramai menjaga kebersihan pantai, mengurangkan gangguan cahaya dan bunyi serta tidak menyentuh atau mengganggu penyu ketika naik untuk bertelur.
“Penyu ini warisan kita. Rantau Abang ialah sejarahnya.
“Kalau kita jaga hari ini, insya-Allah anak cucu kita masih boleh menyaksikan momen yang sama pada masa depan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, tiga pendaratan penyu belimbing direkodkan di pesisir pantai Terengganu sepanjang bulan ini, membabitkan keseluruhan 195 biji telur.
Katanya, tiga pendaratan itu masing-masing direkodkan pada 1 September di Pantai Pasir Putih, Marang membabitkan 44 telur; 13 September di Pantai Rantau Abang dengan 81 telur dan hari ini di Pantai Kuala Abang, Dungun dengan 70 telur.
Menurutnya, semua telur terbabit dipindahkan ke tapak pengeraman bagi meningkatkan peluang kelangsungan hidup spesies berkenaan.
Adnan berkata, pendaratan berkenaan direkodkan menerusi pemantauan berterusan Jabatan Perikanan Malaysia melalui TCIC Rantau Abang.
Tentang Penulis

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Dari Penulis

Surat vokalis Linkin Park buat Siti Nurhaliza ditemui selepas 21 tahun
Deel Anjer · 21 September 2026 pada 08:06 PG

Zara Zya, Izzue Islam dan MK K-Clique terperangkap dalam cinta, perkahwinan toksik
Deel Anjer · 20 September 2026 pada 08:24 PTG
Berita berkaitan

'Dalam penjara ada dadah, ada hierarki, ada kasta': Yasin tarik balik segala dakwaan
Metra Syahril Mohamed · 21 September 2026 pada 10:30 PTG

Buang air kecil tepi lebuh raya, tiga lelaki ditahan
The Step · 21 September 2026 pada 10:49 PG

Curi kabel berhampiran masjid, seorang lelaki ditahan
Metra Syahril Mohamed · 20 September 2026 pada 08:26 PTG



