EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com
Nasional

Penyu belimbing kembali ke Pantai Rantau Abang, 81 telur ditemui

Pendaratan ‘Raja Penyu’ terbaru itu yang kedua selepas di Pantai Marang, Terengganu

Deel Anjer14 September 2026 pada 06:59 PGDikemas kini 14 September 2026 pada 09:20 PG
Sebanyak 81 biji telur telah dipungut oleh petugas Jabatan Perikanan pada jam 4.45 pagi sebelum ditanam semula di Hatcheri Penyu Rantau Abang pada jam 6 pagi.

Sebanyak 81 biji telur telah dipungut oleh petugas Jabatan Perikanan pada jam 4.45 pagi sebelum ditanam semula di Hatcheri Penyu Rantau Abang pada jam 6 pagi.Facebook: Dr Azman Ibrahim

Selepas hampir sedekad tidak kelihatan, kemunculan penyu belimbing sekali lagi mencuri tumpuan apabila dikesan mendarat dan bertelur di Pantai Rantau Abang, Dungun, Terengganu, pada awal pagi Ahad.

Menurut perkongsian Exco Pertanian Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim menerusi Facebook, pendaratan ‘Raja Penyu’  terbaru itu merupakan yang kedua selepas pendaratan pertama direkodkan di Pantai Marang pada 1 September lalu.

“Pendaratan tersebut amat bermakna kerana penyu belimbing kali terakhir dikesan mendarat di Terengganu pada 2017, sebelum spesies berkenaan kembali muncul tahun ini.

“Kemunculan semula penyu belimbing di perairan Terengganu dilihat sebagai perkembangan penting dalam usaha pemuliharaan spesies penyu berkenaan yang terkenal sebagai antara penyu laut terbesar di dunia,” katanya.

Dalam pendaratan terbaru itu, sebanyak 81 biji telur telah dipungut oleh petugas Jabatan Perikanan pada jam 4.45 pagi sebelum ditanam semula di Hatcheri Penyu Rantau Abang pada jam 6 pagi.

Langkah memindahkan dan menanam semula telur di hatcheri dilakukan bagi meningkatkan peluang penetasan, selain memastikan telur berkenaan berada dalam kawasan yang lebih terkawal sehingga menetas.

Telur berkenaan dijangka menetas dalam tempoh 50 hingga 70 hari atau kira-kira tujuh hingga sembilan minggu lagi.

Apa yang menarik, pendaratan terbaru itu juga dipercayai membabitkan penyu belimbing yang sama selepas ia sebelum ini mendarat di Pantai Marang pada 1 September lalu dan menghasilkan 44 biji telur.

Kemunculan semula spesies berkenaan di Terengganu selepas kali terakhir dikesan pada 2017 sekali gus memberi perkembangan positif terhadap usaha pemuliharaan penyu belimbing di negeri itu. - THE STEP

Tentang Penulis

Foto profil Deel Anjer
Deel Anjer

Wartawan

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.

Berita berkaitan