Pengurus syarikat direman kes matan palsu RM200 juta
Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira pukul 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.


Pengurus syarikat sebuah agensi direman kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan pengurangan cukai bernilai kira-kira RM200 juta. SPRM
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pengurus syarikat sebuah agensi yang menawarkan perkhidmatan kewangan dan korporat kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan pengurangan cukai bernilai kira-kira RM200 juta.
Perintah reman selama tiga hari sehingga 3 Oktober ini terhadap suspek dikeluarkan Majistret Illya Syaheedah Mohd Razif selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira pukul 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara 2018 hingga 2026.
Suspek juga dipercayai telah memberi rasuah kepada pegawai sebuah agensi penguat kuasa selain memanipulasi kira-kira 480 akaun syarikat dengan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan pengurangan cukai di samping mengumpul kekayaan melalui aktiviti tersebut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


