Pelajar cedera di kepala, dada, perut, ditendang tiga pelajar Tingkatan Tiga
Mangsa mendakwa telah ditendang, ditumbuk dan disepak berulang kali oleh ketiga-tiga pelajar berkenaan di beberapa bahagian badan.

Gambar yang tular di Threads dan disiarkan di laman Facebook This Is Johor mengenai kejadian buli di sebuah sekolah di Tangkak.
POLIS sedang menjalankan siasatan berhubung satu kejadian seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang dipercayai dipukul oleh tiga orang pelajar lelaki lain di sebuah sekolah menengah di daerah Tangkak.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada 14 November lalu, kira-kira pukul 12.09 tengah malam.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 13 November, sekitar pukul 8 pagi, di dalam sebuah kelas dan kawasan pondok sekolah.
"Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan perbualan dalam kumpulan aplikasi WhatsApp yang menimbulkan rasa tidak puas hati antara pelajar terlibat.
"Mangsa mendakwa telah ditendang, ditumbuk dan disepak berulang kali oleh ketiga-tiga pelajar berkenaan di beberapa bahagian badan," jelasnya dalam kenyataan.
Roslan memberitahu, akibat kejadian, mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor.
Katanya, hasil pemeriksaan perubatan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan tisu lembut (soft tissue injury) di bahagian kiri kepala, dada, perut dan lengan kiri.
"Hasil tindakan pantas pihak polis, tiga orang pelajar lelaki berusia 15 tahun telah dikenal pasti dan diambil tindakan bagi membantu siasatan.
"Hasil temu bual awal mendapati ketiga-tiga pelajar tersebut mengakui penglibatan mereka dalam kejadian berkenaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.
Beliau menambah, pihaknya memandang serius sebarang bentuk perbuatan buli dan keganasan, khususnya yang melibatkan golongan pelajar.
Katanya, perbuatan menggunakan kekerasan bagi menyelesaikan perselisihan faham adalah tidak wajar dan boleh mendatangkan kecederaan serta menjejaskan keselamatan mangsa.
Berita berkaitan

Curi kabel di siang hari di Jalan Tun Razak, polis giat buru kumpulan suspek
Oleh The Step21 November 2026 pada 04:14 PTG

Khoo Poay Tiong akui silap, mohon maaf isu premis tutup Jumaat di Kuala Terengganu


