'Pandulah dengan cermat dan berhemah' – Zahid
Sukar untuknya membayangkan betapa dalamnya rasa kehilangan buat ibu bapa dan seluruh keluarga apabila insan kecil yang menjadi penyeri rumah tiba-tiba tiada lagi di sisi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menziarahi keluarga Allahyarham adik Asiah Ahmad Syahir di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur.
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menitipkan pesan kepada semua pengguna jalan raya supaya memandu dengan cermat dan berhemah.
Nasihat itu diungkapkan beliau selepas menziarahi keluarga Allahyarham adik Asiah Ahmad Syahir, kanak-kanak berusia lima tahun yang meninggal dunia dalam nahas enam kenderaan di Jalan Kuching, baru-baru ini.
Tegas beliau, setiap keputusan yang dibuat di jalan raya membawa tanggungjawab, kerana satu kecuaian boleh meninggalkan kesan yang sangat panjang kepada kehidupan orang lain dan keluarga mereka.

"Pagi tadi saya ke Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur untuk menziarahi keluarga Allahyarham adik Asiah.
"Sebagai seorang atuk (datuk) yang juga mempunyai cucu-cucu seusia Allahyarham, hati saya benar-benar tersentuh melihat kehilangan seorang anak kecil yang sepatutnya masih panjang perjalanan hidupnya," jelasnya.
Beliau menambah, sukar untuknya membayangkan betapa dalamnya rasa kehilangan buat ibu bapa dan seluruh keluarga apabila insan kecil yang menjadi penyeri rumah tiba-tiba tiada lagi di sisi.
Pihaknya turut mendoakan agar seluruh keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian yang amat berat ini.
"Mudah-mudahan segala kenangan bersama Allahyarham menjadi pengubat rindu dan sumber kekuatan untuk mereka meneruskan kehidupan.
"Sama-sama kita mendoakan semoga roh Allahyarham adik Asiah dicucuri rahmat, ditempatkan dalam kalangan orang yang dikasihi Allah dan keluarganya terus diberi kekuatan untuk melalui hari-hari mendatang," katanya.
Berita berkaitan

Curi kabel di siang hari di Jalan Tun Razak, polis giat buru kumpulan suspek
Oleh The Step21 November 2026 pada 04:14 PTG

Khoo Poay Tiong akui silap, mohon maaf isu premis tutup Jumaat di Kuala Terengganu


