The Step - Every Story Moves You

PAC siasat pengurusan, tatakelola kewangan Pan Borneo Sabah Fasa 1

Jika prosiding PAC menemukan sebarang indikasi salah laku, rasuah, atau penyelewengan kuasa, PAC tidak akan teragak-agak untuk merujuk dapatan tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.

Metra Syahril Mohamed
Oleh Metra Syahril MohamedKetua Pengarang The Step19 Oktober 2026 pada 01:08 PTG4 min bacaanDikemas kini 20 Oktober 2026 pada 07:33 PG
Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1.

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1.

JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) memutuskan untuk memulakan siasatan berhubung pengurusan, tatakelola kewangan dan pelaksanaan fizikal Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1.

Ini susulan pendedahan dibuat dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2026 yang telah dibahaskan dalam Dewan Rakyat pada 7 Oktober.

Laporan berkenaan memaparkan pelbagai kelemahan ketara dari segi pengurusan wang awam, termasuk ketidakpatuhan terhadap peraturan dan tatacara kewangan, perbelanjaan berlebihan akibat pengurusan projek yang lemah dan kelewatan melampau khususnya bagi projek-projek yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, termasuk Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Projek LPB Sabah Fasa 1 melibatkan 35 pakej kerja dengan jarak sejauh 706 kilometer, dan ia sepatutnya dilaksanakan selama 69 bulan dan dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun 2021.

Walau bagaimanapun jelasnya, didapati hanya empat pakej kerja (11.4%) telah disiapkan manakala baki 31 pakej kerja bernilai RM16.319 bilion masih dalam pelaksanaan walaupun projek tersebut sepatutnya telah siap lima tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak sembilan pakej kerja merupakan projek sakit dan 13 pakej kerja mengalami kelewatan daripada jadual yang ditetapkan manakala hanya sembilan pakej kerja mendahului jadual.

"Lebih mengejutkan lagi, bagi tempoh dari tahun 2016 hingga 31 Mac 2026, sebanyak RM10.547 bilion iaitu 94.6% daripada peruntukan yang disalurkan berjumlah RM11.153 bilion telah dibelanjakan, walaupun kemajuan fizikal projek ini jauh ketinggalan.

"Di samping itu, tarikh siap Projek LPB Sabah Fasa 1 telah dilanjutkan sehingga 2030 akibat kelemahan perancangan projek.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

"Malah, kos kontrak keseluruhan Projek LPB Sabah Fasa 1 telah meningkat daripada RM17.910 bilion kepada RM18.394 bilion," jelasnya dalam kenyataan merujuk kepada pendedahan dalam LKAN 2/2026 itu.

Menurut beliau, antara perkara lain yang didedahkan dalam LKAN 2/2026 adalah seperti berikut:

a. Sebanyak 57 Arahan Perubahan Kerja berjumlah RM513.99 juta telah diluluskan melebihi had kuasa yang dibenarkan di bawah Pekeliling Perbendaharaan PK 4.1 tanpa kelulusan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) mahupun Lembaga Perolehan KKR;

b. Unjuran kos semasa bagi 15 pakej kerja Fasa 1A telah melonjak sebanyak RM0.987 bilion (9.5%) kepada RM11.323 bilion berbanding kos siling asal RM10.336 bilion. Keseluruhan projek ini kini berdepan risiko kegagalan penyiapan akibat defisit peruntukan sekiranya peruntukan tambahan tidak diluluskan Kerajaan;

c. Pembayaran interim sebanyak RM163.64 juta telah dibuat kepada kontraktor dan perunding tanpa ikatan kontrak rasmi yang mendedahkan Kerajaan kepada risiko perundangan;

d. Pertikaian kadar harga akibat Arahan Perubahan Kerja telah membantutkan kemajuan projek selama bertahun-tahun sehingga menyebabkannya menjadi projek sakit;e. Dana pendahuluan Kerajaan bagi kerja utiliti berjumlah RM41.37 juta masih belum dituntut semula daripada syarikat utiliti melepasi had masa enam bulan selepas Perakuan Siap Kerja (CPC) dikeluarkan;

f. Kerja-kerja pembinaan di tapak bagi 19 pakej kerja telah dimulakan lebih awal sebelum Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) diluluskan oleh pihak berkuasa; dan

g. Penggunaan Sistem Maklumat Projek yang tidak berkesan sehingga berlaku insiden kehilangan 77,299 fail data pemantauan.

Secara ringkasnya jelas beliau, isu-isu yang membelenggu Projek LPB Sabah Fasa 1 merangkumi isu seperti kelewatan penyiapan projek, tapak projek tidak tersedia, pengalihan utiliti, perubahan reka bentuk, kelemahan pemantauan projek, ketidakpatuhan terhadap peraturan dan syarat kontrak serta beberapa kepincangan tatakelola dan pengurusan projek.

"Sebagai sebuah Jawatankuasa Parlimen yang diamanahkan untuk mengawasi ketelusan perbelanjaan dana awam, PAC melihat isu ini bukan sekadar kelewatan pembinaan fizikal biasa, sebaliknya melibatkan isu integriti tadbir urus dan akauntabiliti kerajaan dalam menguruskan wang rakyat.

"Isu ini menjadi lebih ketara apabila dibandingkan secara langsung dengan Projek LPB Sarawak Fasa 1 yang telah pun siap dibina walaupun dimulakan pada masa yang lebih kurang sama," katanya.

Beliau memberitahu, isu ini perlu diberikan perhatian yang serius kerana kelewatan penyiapan projek menyebabkan pengguna jalan raya di Negeri Sabah dinafikan hak ke atas sistem perhubungan dan akses yang lebih selamat sehingga kini.

Malah katanya, kelewatan penyiapan Fasa 1 lebuh raya ini juga menyebabkan kesan tindak balas berantai (chain reaction) di mana pembinaan LPB Sabah Fasa 2 dan Fasa 3 tidak dapat dimulakan.

"Maka, PAC telah memutuskan untuk memulakan siasatan berhubung pengurusan, tatakelola kewangan, dan pelaksanaan fizikal Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1.

"PAC akan memperhalusi secara mendalam bagaimana perkara sedemikian boleh terjadi walaupun terdapat pelbagai jawatankuasa pemantauan yang telah ditubuhkan di peringkat negeri dan Persekutuan.

"Perkara yang dipersoalkan oleh PAC adalah kewajaran sistem pemantauan sedia ada yang meluluskan pembayaran projek itu sedangkan jelas kemajuan fizikal di lapangan tidak berpadanan dengan jumlah dana awam yang telah dibelanjakan," katanya.

Susulan itu menurutnya, PAC akan memanggil saksi-saksi daripada Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya (JKR) termasuk JKR Negeri Sabah dan agensi serta pihak berkaitan bagi memberikan keterangan dalam prosiding yang akan diadakan.

Katanya, jika prosiding PAC menemukan sebarang indikasi salah laku, rasuah, atau penyelewengan kuasa, PAC tidak akan teragak-agak untuk merujuk dapatan tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp
Tentang Penulis
Metra Syahril MohamedKetua Pengarang The Step, The Step | 86 siaran

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.

Lihat semua tulisan

Berita berkaitan

SPRM.
Nasional

Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM

Oleh Metra Syahril Mohamed27 Oktober 2026 pada 08:07 PG
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Nasional

Kajian baseline RUU pengurusan bencana dijangka selesai dalam 12 bulan

Oleh Metra Syahril Mohamed27 Oktober 2026 pada 07:44 PG
EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com