MyLapor mula beroperasi, orang awam boleh kemuka aduan kesalahan merokok
Pelaksanaan MyLapor memberi ruang kepada masyarakat untuk melaporkan kesalahan tanpa perlu bersemuka dengan individu yang melakukan kesalahan.

Pengurusan aduan secara digital membantu KKM memantau aduan, mengenal pasti lokasi yang memerlukan perhatian serta merancang tindakan penguatkuasaan dengan lebih berkesan. Gambar janaan AI.
SISTEM MyLapor mula beroperasi hari ini, sebagai saluran aduan digital untuk orang awam menyalurkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852].
Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), MyLapor dibangunkan bagi memudahkan pelaporan kesalahan di bawah Akta 852 oleh orang awam serta memperkukuh pengurusan aduan dan tindakan penguatkuasaan oleh anggota kesihatan.
Inisiatif tersebut jelasnya, merupakan sebahagian daripada usaha pendigitalan perkhidmatan KKM untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan memastikan aduan diurus secara lebih sistematik.
"Melalui MyLapor, orang awam boleh mengemukakan aduan dengan menggunakan aplikasi MySejahtera, mengimbas kod QR MyLapor atau mengakses pautan https://kkmhub.moh.gov.my/mylapor/public.
"Setiap aduan akan disalurkan terus kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat berdasarkan lokasi kejadian.
"Ini membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil dengan lebih cepat, tepat dan berkesan tanpa perlu melalui proses penyaluran aduan yang panjang," jelasnya.
KKM memberitahu, MyLapor turut membolehkan pengadu menerima notifikasi status aduan yang telah dibuat melalui Aplikasi MySejahtera.
Katanya, pelaksanaan MyLapor memberi ruang kepada masyarakat untuk melaporkan kesalahan tanpa perlu bersemuka dengan individu yang melakukan kesalahan.
Pada masa yang sama jelasnya, pengurusan aduan secara digital membantu KKM memantau aduan, mengenal pasti lokasi yang memerlukan perhatian serta merancang tindakan penguatkuasaan dengan lebih berkesan.
Jelas KKM, kepentingan MyLapor melangkaui kemudahan membuat aduan.
"Penglibatan aktif masyarakat dapat membantu meningkatkan pematuhan terhadap larangan merokok dan melindungi orang ramai, khususnya kanak-kanak, daripada pendedahan kepada asap rokok.
"Usaha ini menyokong pembentukan persekitaran yang lebih bersih, sihat dan selamat untuk semua.
"KKM menyeru orang awam agar menggunakan MyLapor secara bertanggungjawab dengan memberikan maklumat yang tepat dan lengkap bagi membantu siasatan," katanya.
Malah jelas KKM, pemilik serta pengusaha premis juga digalakkan untuk menyokong pelaksanaan ini dengan memaparkan kod QR MyLapor di lokasi yang mudah dilihat dan memastikan pematuhan terhadap larangan merokok di premis masing-masing.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


