MyKiosk: 88 peratus beroperasi sepenuhnya
Kementerian ingin menegaskan bahawa tiada istilah unit kios yang terbiar atau beroperasi separuh jalan memandangkan usaha memastikan setiap unit MyKiosk dimanfaatkan secara optimum merupakan keutamaan kementerian.

Pelaksanaan Program MyKiosk 1.0 dan 2.0 disokong dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM150 juta di bawah Belanjawan MADANI Tahun 2023 dan 2024 KPKT.
SEBANYAK 6,346 unit MyKiosk atau bersamaan 88 peratus (%) daripada keseluruhan kios telah berjaya diisi dan beroperasi sepenuhnya.
Demikian dinyatakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berdasarkan data kutipan dan laporan operasi menyeluruh daripada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sehingga Ogos lalu.
Angka tersebut jelasnya, membuktikan impak positif program tersebut yang telah melonjakkan taraf sosioekonomi ribuan usahawan kecil di seluruh negara.
"Jumlah kekosongan pula adalah sebanyak 897 unit iaitu 12%.
"Program MyKiosk merupakan salah satu inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang bertujuan meningkatkan taraf sosioekonomi peniaga setempat melalui penyediaan ruang niaga yang seragam, selamat dan kondusif, di samping menawarkan kadar sewaan yang rendah dan berpatutan.
"Melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), pelaksanaan Program MyKiosk 1.0 dan 2.0 telah disokong dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM150 juta di bawah Belanjawan MADANI Tahun 2023 dan 2024 bagi penyediaan sebanyak 7,243 unit kios di seluruh negara," jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai jumlah kadar pengisian MyKiosk sejak ia dimulakan, jumlah yang masih beroperasi sehingga kini dan jumlah unit yang terbiar dan digunakan separuh jalan.
Kor Ming berkata, KPKT secara proaktif dan berterusan melaksanakan pelbagai usaha dengan kerjasama PBT bagi memastikan setiap unit MyKiosk diisi, dimanfaatkan dan memberikan impak yang optimum kepada peniaga.
Jelasnya, PBT yang mencatatkan prestasi rendah (Zon Merah) tidak akan dipertimbangkan untuk menerima kelulusan projek baharu.
Langkah tegas itu katanya, adalah bagi memastikan prinsip akauntabiliti sentiasa dijunjung tinggi.
"Sehubungan itu, kementerian ingin menegaskan bahawa tiada istilah unit kios yang terbiar atau beroperasi separuh jalan memandangkan usaha memastikan setiap unit MyKiosk dimanfaatkan secara optimum merupakan keutamaan kementerian.
"KPKT terus memperkukuh kadar pengisian melalui pelaksanaan pelbagai langkah intervensi, pemantauan dan tindakan susulan secara berterusan bersama PBT agar golongan peniaga terus mendapat manfaat daripada inisiatif yang disediakan oleh kerajaan," katanya.
Berita berkaitan

Curi kabel di siang hari di Jalan Tun Razak, polis giat buru kumpulan suspek
Oleh The Step21 November 2026 pada 04:14 PTG

Khoo Poay Tiong akui silap, mohon maaf isu premis tutup Jumaat di Kuala Terengganu


