MPMS 1 dilancarkan di Turkiye, perkukuh keupayaan armada Maritim Malaysia
Keupayaan MPMS 1 untuk beroperasi lebih lama di laut membolehkan Maritim Malaysia memperkukuh pengawasan dan penguatkuasaan secara lebih berterusan, khususnya di kawasan berkepentingan strategik.
.webp&w=3840&q=75)
MPMS 1 direka untuk melaksanakan pengawasan dan penguatkuasaan maritim, Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT), bantuan kemanusiaan, tindak balas bencana serta pelbagai keperluan operasi lain. Maritim Malaysia
USAHA pemodenan armada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mencatat satu lagi pencapaian penting menerusi pelancaran Kapal Misi Pelbagai Guna Pertama (Multi Purpose Mission Ship – MPMS 1) di Desan Shipyard, Turkiye.
Majlis pelancaran tersebut disempurnakan Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Menteri Dalam Negeri Turkiye, Mustafa Ciftci selain Menteri Industri dan Teknologi Turkiye, Mehmet Fatih Kacir serta delegasi kedua-dua negara.
Pelancaran ini menandakan kemajuan pembinaan aset strategik yang akan memperluas jangkauan operasi dan memperkukuh kehadiran Maritim Malaysia di laut.
Sebagai platform pelbagai misi, MPMS 1 direka untuk melaksanakan pengawasan dan penguatkuasaan maritim, Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT), bantuan kemanusiaan, tindak balas bencana serta pelbagai keperluan operasi lain.
.webp&w=3840&q=75)
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, MPMS 1 merupakan pengganda keupayaan yang akan meningkatkan daya tahan operasi Maritim Malaysia dalam menghadapi cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.
"Keupayaan MPMS 1 untuk beroperasi lebih lama di laut membolehkan Maritim Malaysia memperkukuh pengawasan dan penguatkuasaan secara lebih berterusan, khususnya di kawasan berkepentingan strategik.
"Bagi rakyat, keupayaan ini bermakna perlindungan yang lebih berkesan terhadap sumber maritim, tindakan yang lebih menyeluruh terhadap jenayah di laut serta kesiapsiagaan yang lebih baik untuk membantu mereka yang memerlukan," katanya pada majlis pelancaran tersebut.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim, pegawai-pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri, Maritim Malaysia dan Kementerian Ekonomi, Duta Besar Malaysia ke Republik Turkiye serta Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul selain wakil-wakil agensi dan pihak berkepentingan yang terlibat secara langsung dalam projek pembinaan kapal berkenaan.
Majlis turut disertai wakil Kerajaan Republik Turkiye dan pihak pengurusan Desan Shipyard.

Pelancaran MPMS 1 merupakan langkah nyata ke arah pembentukan armada Maritim Malaysia yang lebih moden, berdaya tahan dan responsif untuk melindungi rakyat, memelihara sumber maritim serta mempertahankan kepentingan negara, selaras dengan amanah mengawal, melindung dan menyelamat.
Mohd Rosli berkata, kapal tersebut akan menyokong usaha menangani pencerobohan vesel asing, aktiviti perikanan haram, penyeludupan dan jenayah rentas sempadan, di samping memperkukuh pelaksanaan CARILAMAT.
"Pemodenan aset perlu diterjemahkan kepada keberkesanan operasi. Tumpuan kita adalah memastikan keupayaan baharu ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjaga keselamatan, kedaulatan dan kepentingan negara di Zon Maritim Malaysia," katanya.
Pembinaan MPMS 1 kini mencapai kira-kira 85 peratus dan mendahului jadual yang dirancang.
Sementara itu, pembinaan MPMS 2 mencapai 34.05 peratus berbanding 32 peratus yang dirancang, menunjukkan kemajuan positif dalam usaha memperkukuh keupayaan armada Maritim Malaysia secara berperingkat.
MPMS 1 dijangka dibawa pulang ke Malaysia pada awal 2027 dan dirancang menyertai Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2027 bagi memperkenalkan keupayaan baharu agensi kepada masyarakat serta komuniti maritim antarabangsa.
Projek MPMS turut mencerminkan hubungan strategik Malaysia–Turkiye dalam industri maritim, selain membuka ruang kerjasama lebih luas antara Maritim Malaysia dan Turkish Coast Guard dalam bidang latihan, pembangunan kapasiti, CARILAMAT, perkongsian maklumat serta eksesais bersama.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


