MERAD dijangka beroperasi sepenuhnya 2030
Pada masa ini, keupayaan Ground-Based Air Defence (GBAD) Tentera Darat Malaysia (TDM) serta TUDM tertumpu kepada sistem Very Short-Range Air Defence (VSHORAD).


MERAD akan menjadi komponen penting dalam membentuk sistem pertahanan udara yang lebih bersepadu, berlapis dan kredibel. Kementerian Pertahanan.
SISTEM Medium-Range Air Defence (MERAD) untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka beroperasi sepenuhnya pada pertengahan tahun 2030.
Perkara itu dinyatakan Kementerian Pertahanan (Mindef) merujuk kepada Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan dan Strategi Domain Udara Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Mindef memberitahu, pada masa ini, keupayaan Ground-Based Air Defence (GBAD) Tentera Darat Malaysia (TDM) serta TUDM tertumpu kepada sistem Very Short-Range Air Defence (VSHORAD).
Keupayaan tersebut jelasnya, menyediakan pertahanan pada jarak dekat, namun perlu dipertingkatkan bagi menghadapi spektrum ancaman udara moden yang semakin kompleks, seperti pesawat tempur, peluru berpandu jelajah dan dron.
"Sehubungan itu, selaras dengan Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan dan Strategi Domain Udara ATM, kementerian telah menetapkan keperluan untuk membangunkan pertahanan udara secara berlapis.
"Ini melalui perolehan Short-Range Air Defence (SHORAD) untuk Tentera Darat Malaysia (TDM) dan MERAD untuk TUDM," jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Mindef menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai tahap keupayaan semasa sistem pertahanan udara negara dalam menghadapi ancaman pesawat tempur, peluru berpandu jelajah dan dron.
Jelas kementerian itu, kedua-dua projek berkenaan telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Rolling Plan 1 Tahun 2026.
Perolehan itu katanya, akan memperluas jarak dan lapisan pertahanan udara negara serta meningkatkan keupayaan ATM untuk mengesan dan bertindak balas terhadap pelbagai ancaman udara.
"Khususnya, MERAD akan menjadi komponen penting dalam membentuk sistem pertahanan udara yang lebih bersepadu, berlapis dan kredibel.
"Kementerian komited untuk terus memperkukuh keupayaan pertahanan udara secara berperingkat, selaras dengan perkembangan ancaman dan teknologi semasa bagi meningkatkan kesiapsiagaan ATM serta cegah rintang pertahanan negara," katanya.

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


