MCMC teliti penyebaran maklumat mengelirukan mengenai Belanjawan 2027
Sehubungan itu, MCMC telah merujuk perkara ini kepada Kementerian Kewangan dan sedang menilai kandungan video tersebut, termasuk konteks penyebaran dan potensi kesannya terhadap masyarakat.

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerima aduan orang awam mengenai sebuah video yang tular di media sosial berhubung Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pelepasan cukai pendapatan dalam Belanjawan 2027, yang didakwa mengandungi maklumat palsu dan mengelirukan.
Menurut MCMC, penyebaran maklumat sedemikian berpotensi menimbulkan kekeliruan mengenai dasar percukaian negara, mencetuskan kebimbangan yang tidak berasas serta mempengaruhi keputusan kewangan rakyat berdasarkan maklumat yang salah.
"Sehubungan itu, MCMC telah merujuk perkara ini kepada Kementerian Kewangan dan sedang menilai kandungan video tersebut, termasuk konteks penyebaran dan potensi kesannya terhadap masyarakat.
"Tindakan lanjut akan dipertimbangkan sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588]," jelasnya dalam kenyataan.
MCMC menegaskan bahawa kebebasan bersuara perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dan tidak seharusnya disalahgunakan untuk menyebarkan maklumat palsu yang boleh menjejaskan kepentingan awam.
"MCMC menggesa orang ramai supaya menyemak sebarang maklumat berkaitan Belanjawan 2027 melalui portal rasmi Kementerian Kewangan di www.belanjawan.mof.gov.my, www.sebenarnya.my, chatbot AIFA melalui WhatsApp di 03-8688 7997, serta saluran rasmi pihak berkuasa berkaitan sebelum mempercayai atau menyebarkannya," katanya.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


