MCMC teliti kandungan AI manipulasi detik duka Tun Dr. Mahathir
Teknologi tidak seharusnya digunakan untuk memutarbelitkan kebenaran atau mengeksploitasi kesedihan seseorang sehingga mengorbankan maruah dan nilai kemanusiaan.

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti penyebaran kandungan di media sosial yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memanipulasi rakaman Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika berduka atas pemergian isterinya, Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.
Menurut MCMC, pihaknya memandang serius penyebaran kandungan berkenaan dan telah berhubung dengan platform media sosial berkaitan.
"Sekiranya hasil penelitian mendapati adanya pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya boleh diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588]," jelasnya.
Jelas MCMC, penggunaan teknologi untuk memanipulasi rakaman sebenar sehingga boleh mengelirukan orang ramai, memesongkan konteks sesuatu peristiwa atau menjejaskan maruah individu dan keluarga adalah suatu perkara yang tidak wajar dipandang ringan, lebih-lebih lagi ketika melibatkan saat kehilangan dan kedukaan.
MCMC katanya, mengingatkan semua pihak agar tidak menghasilkan, memuat naik atau menyebarkan kandungan dimanipulasi yang boleh mengelirukan orang ramai atau menjejaskan pihak lain.
Jelasnya, orang ramai juga digalakkan menyemak kesahihan sesuatu kandungan sebelum berkongsi dan melaporkan kandungan yang disyaki telah dimanipulasi kepada platform atau pihak berkuasa berkaitan.
"Kemajuan AI membuka banyak manfaat kepada masyarakat, namun penggunaannya perlu disertai tanggungjawab.
"Teknologi tidak seharusnya digunakan untuk memutarbelitkan kebenaran atau mengeksploitasi kesedihan seseorang sehingga mengorbankan maruah dan nilai kemanusiaan," katanya.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


