“Mana jabatan perikanan, tak pantau ke?” – Netizen
Penyu belimbing dikerumuni individu yang dipercayai merakam video, melakukan siaran langsung selain menggunakan lampu ketika haiwan terbabit berada di pantai

Netizen meluahkan kebimbangan selepas melihat penyu belimbing dikerumuni ramai — Tular / media sosial
KEMBALINYA penyu belimbing atau ‘Raja Penyu’ ke pantai Terengganu selepas hampir sedekad sepatutnya menjadi detik menggembirakan buat pencinta alam, namun situasi yang berlaku ketika haiwan itu mendarat untuk bertelur mengundang rasa kurang senang dalam kalangan netizen.
Menerusi beberapa perkongsian di media sosial, orang ramai meluahkan kebimbangan selepas melihat penyu belimbing berkenaan dikerumuni individu yang dipercayai merakam video, melakukan siaran langsung selain menggunakan lampu ketika haiwan terbabit berada di pantai.
Keadaan itu menyebabkan netizen mempersoalkan sama ada terdapat garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) khusus yang perlu dipatuhi petugas dan orang awam ketika penyu belimbing mendarat untuk bertelur.
“Kasihan melihat penyu belimbing yang jarang naik dikerumuni yang sibuk buat live, membuat bising dan menyuluh lampu putih yang mengganggu pergerakan penyu sehingga sukar pulang ke laut. Tak pasti SOP macam mana, harap Jabatan Perikanan dapat beri pencerahan,” tulis seorang pengguna media sosial.
Seorang lagi netizen pula menyindir sikap segelintir individu yang dilihat lebih mementingkan peluang bergambar berbanding memberi ruang kepada haiwan terbabit.
“Tak cukup dekat tu nak photoshoot dengan penyu. Bila penyu merajuk tak datang bertelur, salahkan penyu. Mana Jabatan Perikanan, tak pantau ke?” katanya.
Komen lain turut menggunakan perbandingan bagi menggambarkan situasi yang berlaku.
“Bayangkan korang beranak, orang ramai tengok korang suluh-suluh lampu. Bayangkan je lah,” tulis seorang netizen.
Ada juga yang berseloroh dari sudut ‘penyu’, dengan menyifatkan kepulangan spesies berkenaan selepas sembilan tahun tidak membawa perubahan kepada sikap manusia.
“Penyu: Sembilan tahun aku tinggalkan. Ingat manusia boleh berubah. Rupanya makin melampau,” tulisnya.
Seorang pengguna lain pula meluahkan rasa kecewa melihat penggunaan lampu putih serta bunyi bising ketika penyu berkenaan berada di pantai.
“Sakitnya hati tengok lampu putih tu, dengan bisingnya lagi,” katanya.
Pendaratan penyu belimbing di Terengganu kali terakhir direkodkan pada 2017 sebelum spesies itu kembali dikesan pada awal September tahun ini.
Pada 13 September lalu, seekor penyu belimbing dikesan mendarat dan bertelur 81 biji di Pantai Rantau Abang, Dungun.
Terbaharu, seekor lagi penyu belimbing dikesan mendarat di Pantai Kuala Abang pada awal pagi 22 September dan menghasilkan 70 biji telur.
Telur berkenaan kemudian dipindahkan petugas jabatan perikanan ke pusat penetasan di Rantau Abang untuk proses pengeraman.
Malah, kerajaan negeri sebelum ini sudah meminta pengusaha pelancongan dan pemilik premis perniagaan di jajaran Pantai Rantau Abang mengurangkan pencahayaan serta aktiviti di kawasan berkenaan sepanjang musim penyu bertelur bagi mengelakkan gangguan terhadap spesies terbabit.
Justeru, persoalan netizen kini bukan sekadar mengenai kepulangan ‘Raja Penyu’, tetapi sejauh mana kawalan di kawasan pendaratan dapat memastikan haiwan yang kembali selepas hampir sedekad itu benar-benar mendapat ruang dan suasana yang sesuai untuk bertelur tanpa gangguan manusia.
Tentang Penulis

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Dari Penulis

‘Umur baru 8 tahun, buat tabung nak jumpa saya’... Zizan Razak terharu
Deel Anjer · 22 September 2026 pada 01:21 PTG

Penyu belimbing kembali mendarat, bertelur kali ketiga di Pantai Terengganu
Deel Anjer · 22 September 2026 pada 11:39 PG

Surat vokalis Linkin Park buat Siti Nurhaliza ditemui selepas 21 tahun
Deel Anjer · 21 September 2026 pada 08:06 PG
Berita berkaitan

Longkang jadi tempat persembunyian, dua warga asing tetap dicekup
The Step · 22 September 2026 pada 03:51 PTG

Penyu belimbing kembali mendarat, bertelur kali ketiga di Pantai Terengganu
Deel Anjer · 22 September 2026 pada 11:39 PG

'Dalam penjara ada dadah, ada hierarki, ada kasta': Yasin tarik balik segala dakwaan
Metra Syahril Mohamed · 21 September 2026 pada 10:30 PTG

Buang air kecil tepi lebuh raya, tiga lelaki ditahan
The Step · 21 September 2026 pada 10:49 PG


