Kes bunuh pelajar di Yong Peng: Fadhlina mahu semua aspek sekolah diperiksa
Berdasarkan maklumat PDRM, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan sekolah dan kemudiannya disahkan meninggal dunia.

Fadhlina turut bertemu keluarga mangsa di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mahu semua perkara di bawah tanggungjawab kementerian diperiksa secara menyeluruh susulan kejadian yang meragut nyawa seorang pelajar di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pemeriksaan itu termasuk rekod kehadiran murid ketika kelas tambahan serta aspek kawalan keselamatan dan rondaan di sekolah berkenaan.
Menurut beliau, syarikat kawalan keselamatan turut diminta memberikan kerjasama bagi membolehkan semakan dilakukan secara menyeluruh.
"Saya mahu semua perkara yang berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan diperiksa dengan menyeluruh. Jangan sembunyikan apa-apa.
"Jika terdapat kecuaian atau tanggungjawab yang tidak dilaksanakan sebagaimana sepatutnya, tindakan tegas akan diambil," katanya menerusi kenyataan di media sosial hari ini.
Fadhlina berkata, beliau berada di Yong Peng bagi mendapatkan perkembangan berhubung kejadian itu dan telah menerima taklimat daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat serta pihak sekolah mengenai kronologi kejadian dan tindakan yang sedang dijalankan.
Beliau turut bertemu keluarga mangsa di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.
"Berdasarkan maklumat PDRM, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan sekolah dan kemudiannya disahkan meninggal dunia.
"Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun telah ditahan dan direman selama enam hari bagi membantu siasatan. Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Motif dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis," katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina menegaskan KPM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM dan tidak akan mendahului siasatan pihak berkuasa.
Beliau berkata, sokongan kaunseling turut diberikan kepada murid serta warga sekolah yang terkesan akibat kejadian berkenaan.
"Seorang anak telah pergi. Keluarganya berhak mendapat jawapan.
"Berikan keluarga ruang dan hormati proses siasatan yang sedang berjalan. Kita mahu kebenaran diperoleh berdasarkan fakta dan bukan spekulasi," katanya.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


