The Step - Every Story Moves You

Kerajaan tangani isu struktur dalam pasaran buruh, ketidaksepadanan pekerjaan

Dalam bahasa kebanyakan, isu ini disebut sebagai ketidaksepadanan pekerjaan

Metra Syahril Mohamed
Oleh Metra Syahril MohamedKetua Pengarang The Step15 Oktober 2026 pada 08:15 PG2 min bacaanDikemas kini 16 Oktober 2026 pada 11:06 PG
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

TERDAPAT isu struktur dalam pasaran buruh dan berlaku situasi di mana individu, termasuk dalam kalangan graduan, bekerja di bawah kelayakan serta menerima gaji yang rendah.

Demikian dijelaskan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berdasarkan kepada komposisi pekerja mahir 2025 yang mencatatkan 30.1 peratus, manakala kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran adalah sebanyak 35.6 peratus.

"Angka ini menunjukkan bahawa terdapat isu struktur dalam pasaran buruh dan berlaku situasi di mana terdapat individu, termasuk dalam kalangan graduan yang bekerja di bawah kelayakan dan menerima gaji yang rendah.

"Dalam bahasa kebanyakan, isu ini disebut sebagai ketidaksepadanan pekerjaan," jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) mengenai kadar pengangguran 3.0 peratus yang tidak menggambarkan sepenuhnya keadaan pasaran pekerjaan sekiranya semakin ramai rakyat terpaksa menerima pekerjaan bergaji rendah atau bekerja di bawah kelayakan mereka bagi menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.

Akmal Nasrullah menambah, bagi menangani ketidaksepadanan pekerjaan, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memberi tumpuan kepada industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV), terutama yang dipacu oleh inovasi, pendigitalan, penggunaan teknologi termaju dan aktiviti berintensiti pengetahuan.

Transformasi struktur itu katanya, mampu menawarkan lebih banyak pekerjaan mahir dengan gaji yang tinggi.

"Langkah ini akan menyumbang kepada sasaran kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran kepada 30 peratus, gaji penengah bulanan sebanyak RM3,500 dan komposisi tenaga kerja mahir kepada 35 peratus pada tahun 2030.

"Menyedari cabaran dalam pasaran buruh, kerajaan giat melaksanakan reformasi ke atas pasaran buruh sebagaimana digariskan dalam RMK13," jelasnya.

Jelas beliau, inisiatif yang dilaksanakan, termasuk mempercepat penyelarasan gaji bagi mengurangkan jurang gaji dan meningkatkan bahagian pampasan pekerja (CE) serta mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, bermatlamat untuk memastikan rakyat mendapat pekerjaan dengan gaji yang bermaruah.

Selain itu katanya, kerajaan juga akan terus berusaha dalam meningkatkan gaji pekerja melalui pelaksanaan Dasar Gaji Progresif, Perintah Gaji Minimum serta gaji kehidupan wajar (living wage) bagi menangani kos sara hidup.

Jelasnya, kerajaan sentiasa komited untuk menangani cabaran kos sara hidup melalui pendekatan menyeluruh bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

"Antara inisiatif utama termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan peruntukan melebihi RM15 bilion, bantuan kebajikan kepada kumpulan sasar berjumlah RM3.1 bilion serta pelaksanaan subsidi bersasar bagi bahan api dan utiliti.

"Kerajaan turut melaksanakan langkah penstabilan harga barangan dan perkhidmatan asas melalui Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara, termasuk Program Penyeragaman Harga Barang sebanyak RM67 juta dan Payung RAHMAH sebanyak RM600 juta.

"Subsidi bahan api berkuota BUDI95 dan BUDI Diesel turut diteruskan dengan anggaran kos sekitar RM4 bilion sebulan," katanya.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp
Tentang Penulis
Metra Syahril MohamedKetua Pengarang The Step, The Step | 86 siaran

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.

Lihat semua tulisan

Berita berkaitan

SPRM.
Nasional

Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM

Oleh Metra Syahril Mohamed27 Oktober 2026 pada 08:07 PG
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Nasional

Kajian baseline RUU pengurusan bencana dijangka selesai dalam 12 bulan

Oleh Metra Syahril Mohamed27 Oktober 2026 pada 07:44 PG
EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com