Kerajaan jalankan kajian risiko perkhidmatan permainan dalam talian
Penilaian itu dijalankan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF).


Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
KERAJAAN sedang menjalankan kajian bagi menilai perkembangan, risiko dan pendekatan kawal selia yang bersesuaian berkaitan perkhidmatan permainan dalam talian (online gaming).
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, penilaian itu dijalankan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF).
Menurut beliau, kajian tersebut merangkumi aspek keselamatan kanak-kanak, interaksi antara pengguna, ciri dan kandungan permainan serta langkah perlindungan yang dilaksanakan oleh pemberi perkhidmatan.
"MCMC turut meneliti pendekatan dan amalan di peringkat antarabangsa bagi mengenal pasti langkah perlindungan yang bersesuaian dan berkesan.
"Kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap keselamatan kanak-kanak dan remaja dalam persekitaran digital, termasuk penggunaan platform permainan dalam talian yang semakin berkembang," jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Dr. Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengenai cadangan memperluas had umur media sosial kepada platform permainan dalam talian khususnya platform yang mempunyai jumlah pengguna kanak-kanak dan remaja yang tinggi.
Fahmi memberitahu, hasil kajian tersebut akan menjadi asas untuk menilai sama ada terdapat keperluan bagi memperkenalkan langkah atau pendekatan kawal selia selanjutnya terhadap platform permainan dalam talian.
Penilaian berkenaan jelasnya, akan mengambil kira konteks Malaysia, perkembangan industri, risiko yang dikenal pasti serta keberkesanan langkah perlindungan sedia ada.
Pada masa yang sama katanya, CMCF sedang mengadakan Rundingan Awam bagi membangunkan Sub-Kod Permainan (Gaming Sub-Code).
"Proses ini turut melibatkan kumpulan kerja yang terdiri daripada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pengendali gedung aplikasi, pembangun permainan tempatan dan antarabangsa, pakar keselamatan dalam talian, industri e-sukan, pengamal undang-undang serta penyelidik.
"Maklum balas yang diterima melalui rundingan awam ini akan dipertimbangkan bagi menambah baik Sub-Kod tersebut," katanya.
Tambahnya, pendekatan sedemikian penting bagi memastikan sebarang langkah yang dipertimbangkan adalah berasaskan bukti, bersesuaian dengan tahap risiko dan mengambil kira kepentingan keselamatan kanak-kanak dalam persekitaran digital.

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


