The Step - Every Story Moves You

Kematian orang dalam tahanan: 78 saksi termasuk pegawai polis diambil keterangan

Kes itu juga dirujuk ke Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) selaras dengan kehendak Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakukan Polis 2022 [Akta 839].

TS
Oleh The StepPengarang Berita24 Oktober 2026 pada 08:33 PG1 min bacaanDikemas kini 24 Oktober 2026 pada 11:21 PTG
Pengarah Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Aida Abdul Hamid.

Pengarah Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Aida Abdul Hamid.

SERAMAI 78 saksi telah dirakam percakapan susulan kematian mengejut orang dalam tahanan, ketika mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), Kuala Lumpur, 1 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Aida Abdul Hamid berkata, mereka terdiri daripada pegawai polis, orang awam, pegawai perubatan, pakar perubatan forensik, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) serta dua waris.

Menurut beliau, kes itu juga dirujuk ke Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) selaras dengan kehendak Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakukan Polis 2022 [Akta 839].

"Pada 19 September lalu, pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras telah menahan seorang lelaki berusia 42 tahun berkait kes yang disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 457 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

"Pada 30 September, suspek dirujuk ke HCTM untuk mendapatkan rawatan dan diberikan rawatan awal oleh doktor serta disahkan meninggal dunia sekitar pukul 1.52 pagi, 1 Oktober," jelasnya dalam kenyataan.

Aida memberitahu, berdasarkan hasil bedah siasatan yang dijalankan, tiada sebarang kecederaan organ dalaman.

Namun katanya, terdapat beberapa kecederaan pada bahagian luaran.

"Punca kematian telah dinyatakan sebagai pending laboratory analysis (menunggu keputusan analisis makmal).

"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut di mana Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), JIPS Bukit Aman meneruskan siasatan dari pelbagai sudut serta merakam percakapan 78 saksi," katanya.

Pihak polis jelas beliau, komited terhadap prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan keadilan dalam menangani sebarang insiden sebegini.

Beliau turut menyeru orang ramai untuk memberi ruang kepada siasatan dijalankan dengan telus dan tidak akan membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

"JIPS memberi jaminan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku mana-mana pihak dan akan mengambil tindakan selaras dengan peraturan dan undang-undang," katanya.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp

Berita berkaitan

EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com