'Keganasan' di sekolah: Usah sekadar disambut dengan 'sedang disiasat'
Dalam usaha pencegahan, risiko pengaruh kandungan ganas yang ditonton oleh golongan remaja juga perlu diberikan perhatian bersama faktor lain seperti tekanan rakan sebaya, persekitaran, masalah disiplin dan kurangnya pengawasan.


Pelajar mesti mempunyai saluran yang benar-benar selamat untuk melaporkan kejadian buli, ugutan atau keganasan tanpa rasa takut.
RENTETAN kejadian 'keganasan' yang berlaku di sekolah tidak boleh sekadar disambut dengan kenyataan bahawa sesuatu kes itu 'sedang disiasat'.
Timbalan Pengerusi Sekretariat Gerakan Suara Rakyat Malaysia Sejahtera, Mohd Amirul Redzuan Amir berkata, persoalan lebih besar yang perlu dijawab ialah sama ada sistem sedia ada benar-benar mencukupi untuk mencegah buli dan keganasan sebelum sesuatu perkara menjadi lebih serius.
Menurut beliau, Kementerian Pendidikan (KPM) dan kerajaan perlu melihat perkara ini sebagai isu keselamatan pelajar yang memerlukan tindakan menyeluruh.
"Jangan tunggu sehingga sesuatu kejadian menjadi tular. Jangan tunggu sehingga seorang pelajar mengalami kecederaan serius.
"Dan paling penting, jangan tunggu sehingga sebuah keluarga kehilangan anak sebelum kelemahan sistem diperbaiki," jelasnya.
Menurut Mohd Amirul Redzuan, setiap kali berlaku kejadian serius, masyarakat sering mendengar bahawa kementerian memandang serius perkara tersebut, siasatan akan dilakukan dan tindakan akan diambil.
Namun jelasnya, ibu bapa sekarang memerlukan lebih daripada sekadar jaminan.
"Mereka mahu mengetahui apakah perubahan sebenar yang dilakukan untuk memastikan perkara sama tidak berulang.
"Kami menggesa KPM melakukan penilaian dan audit keselamatan secara menyeluruh terhadap sekolah serta asrama di seluruh negara, khususnya melibatkan kawasan yang kurang dipantau, pengawasan pada waktu malam, kelas tambahan dan aktiviti selepas waktu persekolahan.
"Sistem aduan berkaitan buli juga perlu diperkukuhkan.
"Pelajar mesti mempunyai saluran yang benar-benar selamat untuk melaporkan kejadian buli, ugutan atau keganasan tanpa rasa takut bahawa identiti mereka akan terdedah atau mereka akan menjadi sasaran selepas membuat laporan," katanya.
PROSEDUR JELAS TERIMA ADUAN
Beliau menambah, guru, warden dan pihak pengurusan sekolah pula perlu mempunyai prosedur yang jelas apabila menerima aduan atau melihat perubahan tingkah laku seseorang pelajar.
Katanya, tanda-tanda awal seperti ketakutan untuk kembali ke asrama, kecederaan yang berulang, perubahan emosi, kehilangan barang, pengasingan serta ancaman daripada pelajar lain tidak boleh dipandang ringan.
"Budaya senioriti yang membuka ruang kepada penghinaan, hukuman fizikal atau tindakan mengambil undang-undang ke tangan sendiri juga perlu dihentikan.
"Tiada seorang pelajar pun mempunyai hak untuk 'menghukum' pelajar lain menggunakan kekerasan.
"Sekiranya seseorang pelajar melakukan kesalahan disiplin, tindakan mesti dilakukan oleh pihak sekolah melalui prosedur yang ditetapkan dan bukannya diserahkan kepada pelajar senior atau rakan sebaya," tegasnya.
RISIKO PENGARUH KANDUNGAN GANAS
Beliau memberitahu, dalam usaha pencegahan, risiko pengaruh kandungan ganas yang ditonton oleh golongan remaja juga perlu diberikan perhatian bersama faktor lain seperti tekanan rakan sebaya, persekitaran, masalah disiplin dan kurangnya pengawasan.
Katanya, aksi pergaduhan, ugutan dan keganasan tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang bergaya atau menyeronokkan sehingga akibat sebenar perbuatan tersebut dilupakan.
Ibu bapa dan sekolah jelas beliau, mempunyai peranan besar dalam membimbing pelajar memahami apa yang mereka tonton, membina empati serta mengajar mereka menyelesaikan konflik tanpa menggunakan kekerasan.
"Kaunseling juga tidak boleh menjadi sekadar tindakan selepas sesuatu kejadian berlaku.
"Ia mesti disertai pemantauan, tindakan susulan dan intervensi awal terhadap mangsa serta pelajar yang menunjukkan tingkah laku agresif atau berisiko," katanya.
Pada masa yang sama katanya, kerajaan perlu bersikap telus mengenai keberkesanan langkah-langkah yang telah dilaksanakan.
Katanya, jika pelbagai program pencegahan buli sudah diwujudkan tetapi kes masih terus berlaku, kerajaan perlu berani menilai sama ada pendekatan sedia ada benar-benar berkesan atau memerlukan perubahan.
"Isu ini bukan soal mencari pihak untuk dipersalahkan semata-mata.
"Ia mengenai bagaimana kita memastikan sistem yang menjaga jutaan pelajar di seluruh negara mampu mengesan risiko lebih awal dan bertindak sebelum keadaan menjadi lebih buruk," jelasnya.

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


