The Step - Every Story Moves You

Keganasan di sekolah: Budaya 'jangan campur' perlu dihentikan

Tanda-tanda awal mungkin tidak dikesan atau tidak diambil serius. Buli, ugutan, pergaduhan dan perubahan tingkah laku tidak boleh dianggap perkara biasa dalam kehidupan remaja.

Metra Syahril Mohamed
Oleh Metra Syahril MohamedKetua Pengarang The Step4 Oktober 2026 pada 07:21 PTG4 min bacaanDikemas kini 5 Oktober 2026 pada 08:37 PG
Keselamatan di sekolah perlu diaudit secara menyeluruh selain melarih guru dalam pengurusan konflik.

Keselamatan di sekolah perlu diaudit secara menyeluruh selain melatih guru dalam pengurusan konflik.

BUDAYA 'jangan campur' perlu dihentikan dengan rakan yang melihat kejadian buli mesti berani melaporkannya kepada pihak bertanggungjawab.

Demikian antara nota-nota penting dikongsikan Penasihat Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar susulan kejadian demi kejadian 'keganasan' yang berlaku di sekolah.

Terbaharu seorang pelajar tingkat empat ditemukan maut, petang semalam, di dalam dewan di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor.

Tegas Zainul Rijal, apabila keganasan di sekolah sudah sampai meragut nyawa, kita tidak boleh lagi melihatnya sebagai 'kes disiplin murid' semata-mata.

Ia katanya, sudah menjadi isu keselamatan, pengurusan sekolah, kesihatan mental, penguatkuasaan dan pembentukan sahsiah.

"Di mana silapnya? Pada pandangan saya, mungkin bukan satu pihak sahaja yang silap. Kita perlu berani melihat beberapa kelemahan.

Penasihat Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar
Penasihat Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar

"Tanda-tanda awal mungkin tidak dikesan atau tidak diambil serius. Buli, ugutan, pergaduhan dan perubahan tingkah laku tidak boleh dianggap perkara biasa dalam kehidupan remaja.

"Budaya 'jangan campur' perlu dihentikan. Rakan yang melihat buli mesti berani melaporkan, guru mesti mempunyai saluran tindakan yang jelas dan mangsa mesti yakin bahawa laporan mereka akan dilindungi," jelasnya dalam hantaran di Facebook.

Menurut beliau, sistem pencegahan mungkin lebih banyak bertindak selepas kejadian, sedangkan kita memerlukan mekanisme mengenal pasti risiko sebelum berlaku tragedi.

KESIHATAN MENTAL TAK BOLEH DIPINGGIRKAN

Dalam pada itu jelasnya, beban guru dan pihak sekolah juga perlu dilihat.

"Guru bukan polis, bukan pakar psikiatri dan bukan kaunselor sepenuh masa. Mereka memerlukan latihan, jumlah kaunselor yang mencukupi dan sistem sokongan yang berkesan.

"Ibu bapa juga mempunyai tanggungjawab. Pembentukan akhlak dan kawalan tingkah laku tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada sekolah.

"Kesihatan mental tidak boleh dipinggirkan. Dalam satu kes terdahulu, mahkamah mendapati remaja yang terlibat dalam pembunuhan pelajar di Bandar Utama mengalami masalah kesihatan mental yang tidak dirawat selama beberapa tahun," katanya.

Yang paling penting tegas beliau, jangan tunggu seorang lagi anak mati sebelum 'kita bertindak'.

Katanya, keselamatan sekolah perlu diaudit secara menyeluruh, memperkukuh kaunseling dan pengesanan awal, melatih guru serta murid dalam pengurusan konflik, dan memperkenalkan mediasi rakan sebaya bagi konflik yang sesuai sebelum ia berkembang menjadi keganasan.

Namun jelasnya, bagi kes jenayah berat seperti serangan fizikal serius, ugutan atau senjata, ia mesti terus dilaporkan kepada pihak berkuasa dan tidak diselesaikan melalui mediasi.

"Sekolah sepatutnya menjadi tempat anak-anak belajar tanpa rasa takut. Kalau seorang ibu menghantar anaknya ke sekolah pada waktu pagi tetapi tidak pasti sama ada anak itu akan pulang dengan selamat, maka kita semua perlu bertanya, apakah yang telah gagal dalam sistem kita?

"Dan jawapannya tidak boleh sekadar 'kita akan siasat'. Kita memerlukan tindakan pembetulan yang nyata dan segera," katanya.

PERKENAL 'PEER MEDIATION'

Terdahulu beliau berpendapat, isu buli di sekolah sehingga membawa kepada kematian murid wajar menjadi titik perubahan dalam cara kita menangani buli.

Buli katanya, tidak boleh dianggap sebagai 'gurauan budak-budak' atau konflik biasa antara pelajar.

"Apabila dibiarkan, ia boleh berkembang daripada ejekan dan tekanan psikologi kepada intimidasi, kekerasan fizikal dan dalam keadaan paling tragis, kehilangan nyawa.

"Pada pandangan saya, di samping tindakan disiplin dan penguatkuasaan yang tegas, kita perlu memberi perhatian lebih besar kepada pencegahan di peringkat paling awal.

"Sebab itu saya pernah mencadangkan supaya sekolah memperkenalkan 'Peer Mediation' atau Mediasi Rakan Sebaya. Pemimpin pelajar, pengawas, ketua kelas dan murid yang diberikan latihan khas boleh menjadi 'mata dan telinga' sekolah untuk mengenal pasti tanda-tanda awal konflik, pengasingan, ugutan atau pembulian," katanya.

Mereka katanya, bukan mengambil alih tugas guru atau pihak sekolah, tetapi menjadi penghubung awal yang boleh mendekati mangsa, menenangkan keadaan dan melaporkan perkara tersebut kepada guru yang bertanggungjawab.

"Saya sendiri pernah menawarkan untuk melatih pemimpin pelajar menjadi peer mediator supaya mereka mempunyai kemahiran mendengar, berkomunikasi, mengurus konflik dan mengenal pasti bila sesuatu keadaan perlu segera dirujuk kepada guru atau pihak berkuasa.

"Cadangan dan tawaran saya tidak diendahkan.

"Perlu ditegaskan bahawa peer mediation bukan pengganti kepada tindakan disiplin atau siasatan rasmi. Kes buli yang melibatkan ancaman serius, keganasan fizikal, kecederaan, unsur seksual atau risiko keselamatan tidak wajar diserahkan kepada murid untuk diselesaikan sendiri," katanya.

Dalam keadaan sedemikian jelasnya, keselamatan mangsa mesti menjadi keutamaan dan prosedur sekolah hendaklah dipatuhi.

Menurut beliau, peranan peer mediator ialah mencegah konflik daripada menjadi lebih buruk, bukan menjadi 'hakim' kepada rakan-rakan mereka.

"Saya percaya setiap sekolah perlu membina budaya bahawa melaporkan buli bukan mengadu, tetapi menyelamatkan seseorang. Kita tidak boleh menunggu sehingga berlaku kecederaan atau kematian baru kita bertindak.

"Seorang pemimpin pelajar yang terlatih mungkin menjadi orang pertama yang menyedari perubahan tingkah laku seorang rakan, mendengar keluhan mangsa atau melihat sesuatu yang tidak kena. Kadangkala, satu tindakan kecil pada waktu yang tepat mampu menghalang tragedi yang jauh lebih besar.

"Kita perlu mendidik murid bukan hanya untuk menjadi pelajar yang pandai, tetapi menjadi manusia yang berani menghentikan kezaliman terhadap rakannya. Jangan tunggu buli menjadi tragedi. Kenal pasti awal, campur tangan awal dan selamatkan awal," tambahnya.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp
Tentang Penulis
Metra Syahril MohamedKetua Pengarang The Step, The Step | 86 siaran

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.

Lihat semua tulisan

Berita berkaitan

SPRM.
Nasional

Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM

Oleh Metra Syahril Mohamed27 Oktober 2026 pada 08:07 PG
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Nasional

Kajian baseline RUU pengurusan bencana dijangka selesai dalam 12 bulan

Oleh Metra Syahril Mohamed27 Oktober 2026 pada 07:44 PG
EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com