Kapal karam di perairan Perak, 19 kru berjaya diselamatkan
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 5.20 pagi apabila MV CARINA 23 menerima panggilan kecemasan melalui radio VHF saluran 16 yang memaklumkan kapal itu sedang karam.

Lokasi kejadian kapal MV VIVO ARYA dilaporkan karam.
SERAMAI 19 kru kapal MV VIVO ARYA berjaya diselamatkan selepas kapal itu dilaporkan karam di perairan Perak, awal pagi tadi.
Menurut Jabatan Laut Malaysia (JLM), kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 5.20 pagi apabila MV CARINA 23 menerima panggilan kecemasan melalui radio VHF saluran 16 yang memaklumkan kapal itu sedang karam.
Susulan kejadian jelasnya, Pusat Kawalan Operasi Marin (MOCC) menghubungi Pusat Penyelarasan Menyelamat Maritim (MRCC) Putrajaya bagi mendapatkan bantuan operasi mencari dan menyalamat.
"Kesemua 19 kru yang berada di atas kapal itu berjaya diselamatkan meskipun operasi menyelamat berdepan cabaran keadaan laut bergelora.
"JLM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) turut dimaklumkan mengenai kejadian tersebut manakala MV YAO DE 1 diarahkan oleh MOCC untuk membantu usaha pencarian," jelasnya dalam kenyataan.

JLM memberitahu, berdasarkan maklumat terkini, sembilan kru berjaya diselamatkan oleh MV VIVO DIYA, manakala sembilan lagi ditemukan di dalam sebuah rakit keselamatan (liferaft) sebelum diselamatkan oleh MV YAO DE 1.
Katanya, seorang lagi kru diselamatkan oleh MV ORKIM GRORY, menjadikan kesemua 19 kru MV VIVO ARYA berjaya diselamatkan.
Tambah JLM, sebagai langkah awal keselamatan pelayaran, pihaknya mengeluarkan hebahan amaran keselamatan pelayaran melalui sistem NAVTEX dan mewujudkan Alat Bantuan Pelayaran Maya (Virtual AtoN) bagi menandakan lokasi bangkai kapal MV VIVO ARYA.
"Langkah ini bertujuan memberikan amaran awal kepada kapal-kapal yang melalui kawasan berkenaan, sekali gus mengurangkan risiko bahaya navigasi.
"JLM akan terus memantau perkembangan kejadian serta bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan pelayaran di kawasan terlibat," katanya.
Berita berkaitan

Curi kabel di siang hari di Jalan Tun Razak, polis giat buru kumpulan suspek
Oleh The Step21 November 2026 pada 04:14 PTG

Khoo Poay Tiong akui silap, mohon maaf isu premis tutup Jumaat di Kuala Terengganu


