The Step - Every Story Moves You

Jalan utama Kuala Lumpur diselenggara, sasaran jangka hayat turapan sehingga 50%

Skop kerja yang dilaksanakan tidak terhad kepada penurapan permukaan jalan semata-mata, sebaliknya meliputi penyelenggaraan secara menyeluruh.

TS
Oleh The StepPengarang Berita25 Oktober 2026 pada 09:12 PG2 min bacaanDikemas kini 26 Oktober 2026 pada 12:06 PG
Hannah Yeoh meninjau kerja pengisaran dan penurapan semula jalan di Lebuhraya KL–Seremban, Lebuhraya Sultan Iskandar dan Jalan Ampang bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.

Hannah Yeoh meninjau kerja pengisaran dan penurapan semula jalan di Lebuhraya KL–Seremban, Lebuhraya Sultan Iskandar dan Jalan Ampang bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.

SEKITAR 59 kilometer jalan protokol dan utama di Kuala Lumpur melibatkan keluasan kira-kira 1.3 juta meter persegi akan diturap dan diselenggara secara berperingkat dengan sasaran meningkatkan jangka hayat turapan sehingga 50 peratus (%).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, fasa pertama melibatkan lima laluan dan mula dilaksanakan secara berperingkat pada Ogos lalu dengan jumlah kos keseluruhan sebanyak RM61.64 juta dan tempoh pelaksanaan selama 24 minggu.

Jelasnya, lima laluan berkenaan ialah:

1. Lebuhraya Sultan Iskandar – Jalan Damansara – Jalan Istana;

2. Bulatan Syed Putra – Mid Valley Megamall (arah masuk dan keluar);

3. Jalan Sultan Ismail (Susur Jalan Kuching – Jalan Imbi) dan Jala Ampang (Susur Intermark – Jalan Raja Chulan);

4. Susur masuk Lebuhraya berhadapan Lapangan Terbang Lama (Lebuhraya KL – Seremban Fasa 1) sehingga susur masuk Lebuhraya SPE; dan

5. Susur masuk Lebuhraya SPE – Pintu Gerbang (Lebuhraya KL – Seremban Fasa 2).

Fasa kedua pula katanya, melibatkan tiga laluan dan bermula pada September lepas dengan tempoh pelaksanaan selama 24 minggu, iaitu:

1. Bulatan Batu Caves – Simpang Jalan Sultan Sulaiman (Jalan Kuching dan Jalan Kinabalu);

2. Bulatan Kampung Pandan – Menara PJD (Jalan Tun Razak); dan

3. Pintu Gerbang – Sempadan Kuala Lumpur-Selangor (Lebuhraya KL-Seremban Fasa 3).

"Skop kerja yang dilaksanakan tidak terhad kepada penurapan permukaan jalan semata-mata, sebaliknya meliputi penyelenggaraan secara menyeluruh.

"Ia merangkumi pembaikan kerb dan pave kerja pengisaran dan penurapan semula (mill & pave), penyelarasan aras manhole, penandaan semula garisan jalan (road marking), penyelenggaraan jambatan termasuk penggantian guardrail dan bridge joint, kemasan tepi jalan melalui kerja pemotongan dan pembersihan (trimming road edges), pemasangan flexible pole dan rumble strip serta pembaikan loop traffic light di lokasi yang dikenal pasti," jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kerja pengisaran dan penurapan semula jalan di Lebuhraya KL–Seremban, Lebuhraya Sultan Iskandar dan Jalan Ampang bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.

Hannah berkata, dari sudut manfaat kepada rakyat dan kecekapan penyelenggaraan, projek berkenaan disasarkan memberikan peningkatan jangka hayat turapan sehingga 50%, memastikan 100% kawasan yang terlibat bebas daripada lubang (pothole-free), serta memberikan pengurangan sehingga 40% kos penyelenggaraan rutin.

Jelas beliau, kerja-kerja penurapan dilaksanakan pada waktu malam antara 10 malam hingga 5 pagi bagi mengurangkan gangguan kepada pengguna jalan raya.

"Setiap projek mempunyai tempoh pelaksanaan selama 24 minggu, dengan keseluruhan program dijadualkan berlangsung dari Ogos 2026 hingga Februari 2027.

"Terima kasih kepada pasukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bekerja sepanjang malam demi keselamatan dan keselesaan warga kota," katanya.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp

Berita berkaitan

EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com